Bina Model Kerjasama Saling Untung Ala Asia

2022-06-17 11:19:37  CRI
Share with:

Selepas tiga tahun, Dialog Shangri-La yang memfokuskan kepada keselamatan Asia Pasifik, diadakan semula di Singapura pada bulan ini.

Terdapat pihak yang meluahkan bahawa forum tahunan berprestij itu cenderung berkhidmat untuk Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, hinggakan wakil negara berkenaan cukup berani bercakap dengan nada seperti ‘tuan rumah’.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengkritik China secara terbuka, dan mendakwa rantau Indo-Pasifik menjadi keutamaan pihaknya serta bakal menjadi markas kepada 300,000 anggota tenteranya.

Meskipun berhadapan dengan senario sedemikian, negara-negara ASEAN sedar tentang kekecohan atau kekacauan oleh kuasa luar. 

Seperti yang ditegaskan Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen pada majlis penutup Dialog berkenaan, negara di rantau ini adalah pelbagai dan saling bergantung.

Menurut beliau, Asia mesti mengambil iktibar daripada situasi di Ukraine dan mengelak berlakunya konflik bersenjata.

 

Mentaliti Perang Dingin, Gugat Kerjasama

Presiden AS, Joe Biden menghimpunkan pemimpin-pemimpin ASEAN pada pertengahan Mei untuk menaik taraf hubungan berkenaan ke peringkat perkongsian strategik menyeluruh menjelang akhir tahun ini.

Ia bermakna, AS menjadikan ASEAN sebagai rakan strategik yang amat penting, sekali gus selari dengan kepentingannya yang beralih semula kepada rantau Indo-Pasifik.

Presiden itu mengumumkan peruntukan sebanyak AS$150 juta bagi pembangunan projek berkaitan marin, termasuk mengerahkan pengawal pantai tambahan ke rantau Indo-Pasifik untuk meningkatkan keupayaan pertahanan maritim.

Semasa lawatan sulung ke Asia pada akhir Mei, Biden menjejakkan kaki ke Korea Selatan lalu menghadiri sidang kemuncak Dialog Keselamatan Empat Hala (QUAD) di Jepun, dengan melobi 13 negara menyertai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

Memandangkan China dan beberapa negara ASEAN seperti Kemboja, Laos dan Myanmar diketepikan, adalah dipercayai bahawa AS berniat membentuk satu perikatan di Asia menerusi inisiatif IPEF, dan mengganggu perjanjian ekonomi serantau dengan mentaliti Perang Dingin.

Khususnya, pakatan QUAD serta AUKUS, iaitu perkongsian keselamatan tiga hala membabitkan Australia, United Kingdom dan AS, menyebabkan keadaan ketenteraan di rantau ini menjadi bertambah tegang serta akan menjejaskan keamanan dan ketenteraman serantau.

 

RCEP Jadi Suri Teladan

Jika membuat perbandingan antara IPEF dengan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), ternyata bahawa kedua-duanya berbeza dari segi saiz dan kualiti.

Dikuatkuasakan sejak awal tahun ini, RCEP dimeterai 15 negara Asia Pasifik, mewakili 30 peratus daripada populasi dunia.

Ia mempunyai dua pasaran terbesar dunia yang paling berpotensi, dengan menyumbang 30 peratus kepada volum ekonomi sejagat dan jumlah keseluruhan dagangan global.

ASEAN dan China menunjukkan suri teladan yang terbaik melalui pemerkasaan hubungan kejiranan dan penerokaan kerjasama saling untung.

Menurut data pada suku pertama tahun ini, nilai import dan eksport perdagangan barangan China-ASEAN mencatat AS$212.36 bilion, naik 10.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Angka itu mencakupi kira-kira 14.4 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan China.

Daripada keseluruhan angka, jumlah eksport China ke ASEAN mencatat sebanyak AS$118.06 bilion, manakala jumlah import dari ASEAN AS$94.3 bilion, sekali gus menjadikan blok tersebut sebagai rakan dagang dan sumber import terbesar China.

Berkuat kuasa di Malaysia mulai 18 Mac, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menganggarkan bahawa RCEP mampu membawa hasil eksport tambahan sebanyak AS$200 juta.

Secara amnya, RCEP akan membolehkan Malaysia menikmati ekosistem perdagangan dan pelaburan global dengan memanfaatkan penghapusan kira-kira 90 peratus tarif dalam kalangan anggota perjanjian itu.

Manfaat lain termasuk liberalisasi perdagangan susulan penghapusan halangan bukan tarif, peningkatan aspek kemudahan perdagangan, pemansuhan halangan sektor perkhidmatan, dan penambahbaikan persekitaran perniagaan melalui peraturan berkaitan perlindungan harta intelek, amalan perolehan kerajaan serta e-dagang.

Indonesia, negara terbesar di Asia Tenggara, merupakan ahli penting RCEP. Proses domestik untuk melengkapkan ratifikasi RCEP dijangka berakhir pada suku kedua tahun ini.

Pihak berkuasa percaya bahawa RCEP akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada Indonesia untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi global, sekali gus meningkatkan prestasi ekonomi di tengah penularan wabak COVID-19.

Kementerian Perdagangan Indonesia meramalkan, dalam tempoh lima tahun pelaksanaan RCEP, eksport negara itu akan meningkat antara 8 hingga 11 peratus, manakala pelaburan asing naik sebanyak 22 peratus.

 

Kesimpulan

AS dilihat sentiasa berada di rantau Indo-Pasifik khususnya di ASEAN, dan niatnya untuk menyasarkan China sangat jelas, manakala negara ASEAN pula terkena tempias akibat persaingan kuasa besar.

Sejak menjadi ketua negara lebih setahun lalu, Biden melakukan segala yang mungkin untuk memperluas tentakel AS di rantau ini, selain mengejar kepentingan kompetitif dalam bidang ketenteraan dan teknologi canggih melalui pelbagai helah.

Sehubungan itu, bakal Presiden baharu Filipina, Ferdinand Marcos Jr berkata, China merupakan rakan kongsi terkuat buat negaranya, sambil menekankan bahawa hubungan Filipina-China sangat penting dan bermanfaat kepada kedua-dua negara.

Beliau berjanji akan terus mengamalkan dasar luar yang bebas, di samping memantapkan hubungan di kalangan rakyat kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto semasa berada di Dialog Shangri-La menegaskan bahawa pihaknya akan menyelesaikan perselisihan sesama negara menerusi pendekatan ala Asia, dan tidak akan memaksa negara lain menerima apa yang dilakukan mereka.

Beliau pula yakin, pemimpin China akan menggalas tanggungjawabnya dengan kebijaksanaan dan kebaikan. Di mata Prabowo, China terkenal dengan tamadun gemilang dan pengaruhnya sudah sampai ke seluruh Asia Tenggara.

Beliau menggesa negara lain supaya menghormati kebangkitan damai China.

Dengan pelbagai cabaran geopolitik di rantau ini pada masa hadapan, negara ASEAN dan China perlu bekerjasama memantapkan pelaksanaan RCEP dengan penuh kejujuran, mengekalkan perpaduan serantau menerusi cara Asia, dan berkongsi hasil pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, usaha sama juga harus dipertingkat untuk meneroka situasi menang-menang dan mengelak gangguan kuasa luar, di samping memperkukuh kedudukan ASEAN di rantau ini.

 

Oleh: Chong Tien Siong, pengamal media veteran Malaysia  

Terjemahan: Kumpulan Media China (CMG)