Siasatan ke atas Hak Asasi Manusia AS Harus Disegerakan
Pada sesi ke-50 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) yang diadakan di Geneva baru-baru ini, Cuba mewakili hampir 70 negara menyampaikan ucapan, menentang tindakan mencampuri urusan dalaman China dengan alasan hak asasi manusia. Manakala lebih 20 lagi negara menyampaikan ucapan, menzahirkan sokongan kepada China.
Babak seumpama ini telah berulang kali berlaku di persada antarabangsa seperti sesi UNHRC. Hampir 100 buah negara memberikan sokongan kepada China, dan ini memperlihatkan bahawa masyarakat antarabangsa khususnya negara membangun, mempunyai tanggapan yang objektif dan rasional dalam situasi hak asasi manusia di China.
Pada beberapa tahun lalu, Amerika Syarikat (AS) menganggap China sebagai "pesaing strategik terbesar", dan mengambil tindakan mengekang China dengan menggunakan isu Xinjiang, Hong Kong, Tibet dan Taiwan. Sebagai contoh, AS dan Barat telah membentuk satu "rantaian industri” yang lengkap dalam membuat khabar angin membabitkan isu Xinjiang. Apa yang disebut "Akta Pencegahan Kerja Paksa Uyghur" yang dibuat berdasarkan pembohongan akan dikuatkuaskan di AS pada minggu depan. Parlimen Eropah pula mengikuti AS dan meluluskan resolusi yang menyerang situasi hak asasi manusia di Xinjiang tanpa alasan.
Pembohongan tetap merupakan pembohongan walau diulang seribu kali. Dalam sesi-sesi UNHRC terdahulu, dasar pentadbiran China di wilayah Xinjiang telah memperoleh pemahaman dan sokongan masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Islam.
Pada bulan Mei lalu, lawatan Pesuruhjaya Tinggi UNHRC, Michelle Bachelet ke China, yang "diberi harapan tinggi" oleh AS dan Barat, bukan sahaja gagal memberikan "bukti" kepada kenyataan fitnah mereka, malah memperlihatkan prestasi hak asasi manusia China secara objektif kepada dunia.
Bachelet menekankan bahawa beliau telah berinteraksi dengan rakyat tempatan "tanpa pengawasan” semasa lawatannya ke China. Ini secara langsung memberi tamparan hebat kepada dakwaan Barat yang menyebut lawatan itu “tidak telus”. Malah beberapa pegawai AS mengakui bahawa "tiada masalah di Xinjiang" dan mereka-reka pembohongan hanya untuk memburuk nama China dan mengekang negara ini.
Padahal, orang awam sudah pasti tahu bahawa AS ialah pesalah nombor satu dalam tindakan menceroboh hak asasi manusia. Kegagalan negara itu dalam memerangi pandemik COVID-19 menyebabkan kehilangan lebih sejuta nyawa. Konflik perkauman dan keganasan senjata api sering berlaku di negara itu. Selain itu, perang yang dilancarkannya di dunia menyebabkan hampir sejuta rakyat jelata maut, manakala berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal.
Pada bulan April lalu, Duta Cuba ke PBB, Pedroso bertanya "Apakah Perhimpunan Agung PBB akan meluluskan resolusi untuk menggantung keahlian AS dalam UNHRC pada suatu hari nanti?" Sebenarnya, ini juga suara kebanyakan negara membangun. Siasatan UNHRC terhadap situasi hak asasi manusia di AS harus dilakukan dengan segera.