Ribuan Berhimpun di Capitol Bantah Diskriminasi Kaum

2022-06-20 11:51:08  CRI
Share with:

Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di bangunan Capitol di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, sebagai bantahan terhadap masalah diskriminasi kaum yang menyebabkan ketidaksamarataan ekonomi di negara itu.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk dan menuntut kerajaan supaya menghapuskan diskriminasi perkauman sistemik, serta menjamin hak hidup golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

Selain itu, kerajaan juga digesa supaya menaikkan gaji minimum, menambah baik sistem perubatan dan mengurangkan perbelanjaan ketenteraan.

Menurut data Biro Banci AS, kadar kemiskinan negara itu berada di paras 11.4 peratus pada 2020. Antaranya warga keturunan Afrika sebanyak 19.5 peratus, mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi.

Tambahan pula, wabak COVID-19 memburukkan lagi masalah perkauman yang sudah lama wujud dalam masyarakat AS.

Pakar berpendapat, di sebalik fenomena itu wujudnya pengagihan sumber perubatan yang tidak seimbang serta perbezaan tahap kesihatan sesama kaum.

Ia berpunca daripada ketidaksamaan ekonomi akibat diskriminasi kaum sistemik yang berakar umbi di AS.