Stigma Produk China Berubah
Stigma atau tanggapan negatif terhadap produk jenama dari China sebagai barangan tidak berkualiti dan mudah rosak menyebabkan apa sahaja produk ‘made in China’ terhakis reputasinya sebelum dijual lagi.
Namun usaha bersungguh-sungguh kerajaan China berjaya mengubah tanggapan itu walaupun mengambil masa yang panjang.
Malahan, pengusaha industri di China berusaha menghasilkan produk-produk berkualiti dan bertaraf dunia serta menggunakan teknologi terkini untuk menghasilkannya.
Dalam tempoh beberapa tahun, sektor industri China telah mengambil langkah-langkah progresif seiring dengan perkembangan zaman. Kini produk jenama China bukan sahaja berjaya menambat hati pengguna di Malaysia, bahkan menjadi penanda aras di dunia.
Perubahan yang ketara ini telah dibuktikan dalam beberapa sektor terutama peralatan elektronik, teknologi maklumat dan automotif.
Selain fenomena barangan China di seluruh dunia, Malaysia juga dilambakkan dengan produk elektronik negara itu yang dijual secara terus atau dalam talian. Banyak jenama televisyen, pemain DVD dan permainan video serta barangan elektronik lain boleh dilihat melalui jualan dalam talian Shopee atau Lazada Malaysia.
Namun promosi besar-besaran oleh pengeluar jenama China seperti HiSense dan Haier yang sudah lama bertapak di Malaysia berjaya menambat hati pengguna negara ini.
Jika di Malaysia, jenama Haier dilihat sama seperti jenama barangan dari China lain tetapi di Barat, jenama ini setaraf dengan jenama terkenal seperti Samsung, LG dan sebagainya. Begitu juga jenama Midea dengan rekaan lebih moden, membuka hati pengguna dengan harga rendah.
Kini beberapa jenama telefon China adalah penggerak utama memperbaiki reputasi buruk produk negara itu dalam memecah tradisi pasaran di Malaysia.
Jenama seperti Samsung, Apple, Sony kian tergugat oleh taktik pemasaran jenama China yang menawarkan telefon pintar berspesifikasi tinggi pada harga mampu milik.
Kuasa ekonomi dunia itu telah membuktikan bahawa China mampu mencipta teknologi dan berjaya bersaing dengan pengeluar Eropah dan Amerika Syarikat.
Kualiti telefonnya hampir setanding dan harganya sering lebih rendah. Jenama China seperti Huawei, Oppo, Vivo, Lenovo, Xiaomi, Asus kini mempunyai peminat setia seperti jenama lain yang sudah lama bertapak di Malaysia.
Produk automotif China dalam pasaran Malaysia juga bukan sesuatu yang baharu. Kira-kira 20 tahun lalu beberapa jenama China sudah pun bertapak di negara ini seperti Chery, Changan, Great Wall dan Haval.
Namun jualannya kurang mendapat sambutan pengguna Malaysia kerana dikatakan ketinggalan dari segi rekaan serta teknologi.
Hal ini berlaku ekoran kereta-kereta buatan China dengan model seakan-akan klon daripada beberapa jenama terkenal serta ditawarkan pada harga yang murah sering dikaitkan dengan kebimbangan tahap kualiti dan ketahanannya.
Bagaimanapun tanggapan itu sudah berubah sejak jalinan kerjasama antara Proton dengan Geely. Kini model Proton X70 dan X50 masing-masing merupakan model SUV yang paling laris dalam kelasnya di Malaysia.
Keyakinan pengguna turut didorong oleh penggabungan teknologi Geely yang sedia ada dengan teknologi Volvo. Dengan rekaan model yang lebih asli dan moden turut membantu jualannya berbanding dengan jenama automotif China lain sebelumnya, yang dilihat ketandusan idea.
Penguasaan pasaran kereta Malaysia yang selama ini dikuasai jenama tempatan dengan kerjasama pengeluar kereta Jepun dan Korea Selatan bagi pasaran bawah RM100,000, kini diambil alih oleh Proton dan Geely. Kerjasama itu mencipta kejayaan besar buat pertama kali bagi kenderaan China yang dijual dalam kuantiti yang besar di Malaysia.
Pembangunan dan perubahan terhadapa produk China dilihat seiring dengan aspirasi Negara Tembok Besar itu yang mahu menjadi pemimpin sektor teknologi dunia.
Keadaan ini berlaku berikutan pengenalan visi China yang seterusnya iaitu Made in China 2025. Visi yang dicetus pada 2015 ini adalah meletakkan matlamat China untuk menjadi sebuah negara berteknologi hijau dan berinovatif menjelang tahun 2025. Oleh itu, untuk merealisasikan matlamat tersebut, China mahukan pengeluar domestiknya menghasilkan lebih banyak komponen teknologi bertaraf tinggi untuk pasaran lokal dan global.
Oleh itu, lebih banyak firma China digalak melabur dalam inovasi berteknologi.
Apa yang diusahakan itu melambangkan hasrat China untuk beralih daripada tanggapan label menghasilkan produk-produk berharga murah dan berkualiti rendah kepada yang terbaik dan bertaraf dunia.
Dalam konteks Malaysia, syarikat-syarikat terkenal China seperti Huawei, Longi Solar, Jinko Solar, Alibaba Group dan banyak lagi menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan pelaburan. Kehadiran syarikat-syarikat ini menggambarkan ekosistem mesra pelabur di Malaysia.
Di samping itu, produk keluaran Malaysia juga semakin mendapat perhatian dalam kalangan 1.4 bilion pengguna di China. Malahan produk Malaysia sering mendapat jolokan antara produk terbaik dan berkualiti.
Antara produk Malaysia yang mendapat pasaran di China ialah sarang burung, produk berasaskan durian, makanan dan minuman serta barangan berasaskan kayu.
Selain itu, penduduk China khasnya beragama Islam amat yakin dengan produk yang mempunyai tanda halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sanggup untuk membayar lebih bagi mendapatkannya.
Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan pasaran ke beberapa wilayah China dengan mengadakan perbincangan bersama Beijing bagi membolehkan lebih banyak produk agro makanan halal masuk ke sana.
Produk pertanian dan makanan Malaysia terutama produk halal, mempunyai permintaan besar untuk ditembusi dan bersaing di pasaran China.
Bagaimanapun seperti di Malaysia, pengguna China juga sudah matang, dan untuk itu produk yang ingin dieksport ke Negara Tembok Besar ini perlulah berkualiti, selamat serta kompetitif dari segi harga.