Semua Terowong HSR Jakarta-Bandung Siap Dibina

2022-06-22 13:11:24  CRI
Share with:

Terowong terakhir iaitu terowong No. 2 bagi laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Jakarta-Bandung Indonesia siap dibina pada pagi Selasa, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk pengoperasiannya pada Jun 2023.

 

Majlis perasmian penyelesaian pembinaan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Duta besar China ke Indonesia, Lu Kang.

 

Menurut maklumat, laluan HSR Jakarta-Bandung mempunyai 13 terowong dengan panjang keseluruhan 16,643 meter.

 

Terowong No. 2 yang terletak di daerah Purwakarta, wilayah Jawa Barat, dengan panjang dan kedalaman keseluruhan masing-masing 1,052 meter dan 53.6 meter itu secara tidak langsung menjadi antara projek paling sukar di sepanjang laluan berkenaan.

 

Masalah-masalah yang meliputi bentuk terowong berubah serta runtuhan tanah turut pernah berlaku dalam tempoh pembinaan terowong tersebut dan membawa risiko keselamatan tinggi.

 

Sejak permulaan pembinaan pada 2018, konsortium pembinaan China diketuai China Railway International Group berjaya menangani impak pandemik COVID-19 dan pelbagai kesukaran dalam pembinaan bagi memastikan kesemua 13 terowong siap dibina.

Pada masa ini, semua terowong dan pembetung pada HSR Jakarta-Bandung telah siap, di samping lebih 90 peratus kerja-kerja awam bagi lapisan bawah jalan, jambatan dan stesen, manakala keseluruhan pembinaan telah memasuki peringkat pemasangan landasan.

 

Laluan HSR Jakarta-Bandung merupakan projek simbolik Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang menandakan kerjasama substantif antara China dan Indonesia.

 

Laluan ini menghubungkan Jakarta, ibu negara Indonesia, dan Bandung, bandar keempat terbesar di negara itu, dengan panjang keseluruhan 142 kilometer.

 

Difahamkan, masa perjalanan antara Jakarta dan Bandung akan dipendekkan daripada lebih tiga jam kepada 40 minit sahaja dengan adanya HSR tersebut.