Gagasan Xi Sejajar Arus Sezaman, Aspirasi Semua
Konsep dan gagasan yang disyorkan Presiden China Xi Jinping menerusi ucaptamanya berjudul “Fahami Trend Terkini, Bina Masa Depan Lebih Cerah” pada Sidang Kemuncak BRICS ke-14 adalah sejajar dengan arus sezaman serta aspirasi bersama masyarakat antarabangsa.
Demikian dinyatakan Pengarah Pusat Ekonomi Antarabangsa di Fakulti Ekonomi, Universiti Chulalongkorn, Dr. Piti Srisangnam dalam satu temu bual baru-baru ini.
Piti menyatakan, Presiden Xi mengibaratkan perubahan landskap ekonomi global dan situasi antarabangsa sebagai sungai sejarah bergerak ke hadapan tanpa putus, yang tidak akan mengubah trend keterbukaan dan pembangunan. Kata-kata itu telah meninggalkan impresi mendalam buat beliau.
Menurut Xi, negara-negara membangun merupakan tunjang bagi memacu pembangunan ekonomi sejagat, khususnya BRICS yang membabitkan lima ekonomi utama sedang berkembang di dunia.
"Apa yang dipanggil 'kuasa terbesar' pada masa dahulu mesti mengakui realiti tersebut dan proaktif mengintegrasikan diri ke dalam aliran sejarah. Diharap bahawa arus perdana yang disuntik elemen lebih bebas dan terbuka ini akan menerajui hala tuju pembangunan dunia.”
Piti yakin, mekanisme kolaborasi BRICS dapat terus memainkan peranan positif tatkala dunia berdepan perubahan yang tidak pernah disaksikan dalam seabad serta bergelut penularan wabak COVID-19.
Tambah beliau, baik memastikan Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dicapai sepenuhnya, mahupun merealisasikan visi komuniti berkongsi nasib sesama insan, kedua-duanya menyasar matlamat sama dan juga akan saling menggalakkan.