NATO Digesa Elak Perang Dingin Baharu

2022-06-24 12:11:35  CRI
Share with:

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) adalah alat yang digunakan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan hegemoninya dan memanipulasi landskap keselamatan Eropah. 

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin berkata ia ternyata bertentangan dengan arus pembangunan sezaman.

“NATO merupakan hasil Perang Dingin dan pakatan tentera terbesar dunia yang didominasi AS.

“Ia mendakwa dirinya sebuah organisasi bersifat defensif, namun dengan sewenang-wenangnya melancarkan perang terhadap negara berdaulat hingga menyebabkan begitu ramai penduduk awam terkorban dan puluhan juta kehilangan tempat berteduh.

“Pada tahun-tahun kebelakangan ini, perikatan ketenteraan itu sering tampil menunjuk-nunjuk kekuatan mereka di rantau Asia Pasifik dengan niat mencetuskan konfrontasi secara berkumpulan.  

“Tingkah laku seumpama amat berbahaya dan pasti akan menimbulkan kewaspadaan serta tentangan tegas dari negara-negara serantau dan masyarakat antarabangsa,” ujarnya dalam sidang media di Beijing pada Khamis.

Wang turut menggesa NATO supaya berhenti menghasut konfrontasi ideologi dan menyebarkan maklumat palsu atau kenyataan provokatif menyasarkan China, dan jangan cuba mencetuskan Perang Dingin baharu.