China Jawab ‘Soalan Sezaman’ Menerusi Kesungguhan

2022-06-24 13:38:21  cri
Share with:

“Ke mana hala tuju dunia?” Soalan yang dikemukakan Presiden China, Xi Jinping dalam ucaptamanya semasa majlis perasmian Forum Perniagaan BRICS pada Rabu menjadi santapan fikiran buat masyarakat antarabangsa.

Beliau turut mengajukan empat saranan antaranya berganding bahu memelihara kedamaian dan kestabilan dunia, memacu pembangunan lestari global, mewujudkan situasi menang-menang menerusi kerjasama, di samping memperluas keterbukaan dan pengintegrasian.

Saranan tersebut mencerminkan aspirasi bersama rakyat seluruh dunia, sekali gus memberi jawapan kepada ‘soalan sezaman’ itu.

Keselamatan merupakan prasyarat bagi pembangunan. Presiden Xi menyeru masyarakat antarabangsa mengetepikan mainan campur-tolak, dan bersama menentang hegemoni dan politik kuasa.

Pembangunan pula dianggap sebagai jaminan kepada kedamaian, dan amat signifikan bagi menyelesaikan pelbagai kesukaran serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Pembangunan perlu berlandaskan hukum yang sewajarnya. Dalam pada itu, kerjasama hendaklah dipergiat ke arah situasi menang-menang, sementara keterbukaan pintu diperlukan demi mewujudkan keterangkuman. Ia juga amat penting bagi memacu pembangunan di lebih banyak negara di dunia.

Namun, sesetengah negara Barat antaranya Amerika Syarikat bertindak membelakangi hukum pembangunan tersebut, termasuk mengenakan sekatan ekstrem terhadap Rusia sehingga menggugat pasaran tenaga dan bahan makanan antarabangsa, dan menguatkuasakan akta mengejikan demi memboikot produk keluaran Xinjiang, China.

Perbuatan yang berniat ‘mencantas hubungan’ dan ‘membina tembok halaman sendiri’ itu telah membantut rantaian perindustrian dan bekalan global, sekali gus menjejaskan usaha ke arah pemulihan ekonomi dunia.

Kerjasama BRICS merupakan kejayaan kepada multilateralisme, juga hasil daripada pemegangan prinsip mengutamakan pembangunan, kesalinguntungan dan keterangkuman.

Seperti yang dinyatakan Presiden Xi bahawa situasi antarabangsa yang mengalami perubahan ketika ini tidak akan mengubah trend keterbukaan dan pembangunan, serta aspirasi untuk bersinergi dalam merungkai cabaran.