Kenapa Hasil Kerjasama BRICS Jauh Lebihi Jangkaan

2022-06-25 13:41:49  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak BRICS ke-14 secara maya pada Khamis menyeru negara-negara BRICS bersatu hati, menggembleng tenaga dan berdampingan menuju ke masa depan.

Beliau turut melihat keputusan betul dan tindakan bertanggungjawab oleh negara BRICS sangat signifikan bagi dunia yang berada pada fasa perkembangan penting dalam sejarah.  Sidang kemuncak tersebut mempunyai makna penting kerana ia dianjurkan tatkala dunia mengalami situasi yang rumit ketika ini.  

Pandemik COVID-19 yang masih menular, pemulihan ekonomi global yang lemah serta krisis Ukraine dan kebangkitan mentaliti Perang Dingin, telah membawa impak besar kepada keselamatan dan pembangunan negara BRICS.

Sebagai negara dengan saiz ekonomi terbesar di kalangan anggota BRICS dan pengerusi sidang kemuncak BRICS bagi tahun ini, China aktif berperanan menerajui kerjasama BRICS.

Presiden Xi dalam ucaptamanya pada sidang kemuncak itu mengemukakan empat saranan untuk kerjasama BRICS pada masa depan.

Ia termasuk berganding bahu memelihara kedamaian dan ketenteraman dunia; mengekalkan kerjasama dan pembangunan, bersinergi merungkai cabaran; memperkasa usaha inovasi bagi meneroka potensi dan kedinamikan kerjasama; mengekalkan keterbukaan dan keterangkuman, di samping menghimpun kebijaksanaan dan tenaga bersama.

Deklarasi Beijing yang diluluskan dalam sidang kemuncak kali ini menyuarakan sokongan kepada rundingan antara Rusia dan Ukraine, sekali gus menzahirkan komitmen negara pasaran baru muncul dan negara membangun demi memelihara kedamaian.

Presiden Parti Hijau Zambia, Peter Sinkamba menganggap saranan Presiden Xi untuk mengamalkan multilateralisme jitu sangat signifikan, khususnya ia patut diberi perhatian oleh negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Selaku penyaran konsep BRICS, mantan ahli ekonomi kanan syarikat Goldman Sachs, Jim O’Neill pula menganggap pembangunan mekanisme BRICS jauh melebihi jangkaannya, dan China memainkan peranan penting dalam hal tersebut.