Bahan Bantuan dari China Tiba di Afghanistan

2022-06-28 12:53:55  CRI
Share with:

 Kumpulan pertama bahan bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul, Afghanistan pada Isnin.

Duta China ke Afghanistan, Wang Yu dan Pemangku Menteri Pengurusan Bencana dan Hal Ehwal Kemanusiaan kerajaan sementara Afghanistan, Ghulam Ghaws Naseri menghadiri majlis penyerahan bahan bantuan itu.

Wang dalam ucapannya berkata bahawa kerajaan China memutuskan untuk menghulurkan bantuan bernilai RMB50 juta (kira-kira RM32 juta) sebagai bekalan bantuan kemanusiaan kecemasan ke Afghanistan, dan antara bekalan yang diberikan termasuk khemah, katil lipat serta selimut.

"Enam lagi kapal terbang China akan menghantar bekalan bantuan dalam tempoh tiga hari seterusnya.

"Semua bekalan makanan yang dijanjikan China dalam bantuan kepada Afghanistan juga telah tiba," ujar beliau.

Naseri pula menzahirkan penghargaan kepada China atas bekalan bantuan kecemasan sejurus selepas gempa bumi berlaku.

Beliau berkata, langkah yang disusuli ucapan takziah itu sekali gus menunjukkan persahabatan yang lama antara rakyat kedua-dua negara.

Pada 22 Jun, gempa bumi kuat di bahagian tenggara Afghanistan mengorbankan lebih 1,000 orang dan mencederakan hampir 2,000 yang lain sambil memusnahkan puluhan ribu rumah.