Kereta Api "Trieste-Velenje" Laluan Ekspres Darat dan Laut China-Eropah Beroperasi

2022-06-28 13:09:42  CRI
Share with:

BEIJING, 28 Jun – Kereta api Trieste-Velenje, sebahagian daripada Laluan Ekspres Darat dan Laut China-Eropah beroperasi secara rasmi di Itali pada Isnin.

Disaksikan oleh tokoh-tokoh politik dan perdagangan dari China dan Itali, kereta api yang membawa 32 kontena bahan mentah bertolak dari pelabuhan Trieste, Itali dan dijadual tiba di sebuah kilang di Velenje, Slovenia pada keesokan harinya.

Difahamkan, laluan yang beroperasi tiga hingga empat kali seminggu itu amat kondusif bagi menjamin rantaian bekalan antarabangsa dan menyumbang kepada pembinaan Laluan Sutera Maritim yang baharu.

Sejak tercetus pandemik COVID-19 dan krisis Rusia-Ukraine, pengangkutan transit di benua Eropah menghadapi risiko besar dari sudut kos dan kecekapan, sekali gus menjejaskan kestabilan rantaian bekalan syarikat-syarikat rentas sempadan.

Dengan beroperasinya laluan kerata api baharu tersebut, ia diyakini mampu menyelesaikan masalah-masalah termasuk tenaga insan dan kapasiti pengangkutan

Laluan Ekspres Darat dan Laut China-Eropah kini telah meliputi pelbagai kawasan di Eropah termasuk Hungary, Czech, Slovakia, Austria, Serbia, Croatia, Bulgaria, Romania dan Sepanyol, sekali gus menjadi laluan penting bagi pengeksportan China ke Eropah dan sebaliknya.