Setengah Tahun Pelaksanaan RCEP: China Giat Teroka Pasaran

2022-06-30 13:06:46  CRI
Share with:

Sejak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, pelbagai sektor di China giat meneroka pasaran dengan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas yang berskala paling besar di dunia itu.

Ia sekali gus menyaksikan RCEP berperanan penting bagi menstabilkan perdagangan luar China.

Pada lima bulan pertama tahun ini, jumlah nilai perdagangan China dengan 14 negara anggota RCEP meningkat 4.2 peratus, mencakupi lebih 30 peratus daripada jumlah perdagangan luar negara ini.

Menurut Naib Pengarah Jabatan Asia Institut Pengajian Kementerian Perdagangan China, Yuan Bo, RCEP bukan sahaja membawa peluang baharu kepada pengeksportan seperti produk pertanian, industri ringan dan tekstil ke pasaran negara anggota, malah juga menyediakan suasana baik bagi peningkatan pengimportan bahan asli dan komponen kereta, mekanik, dan elektrik yang turut dapat meningkatkan daya saing produk China.

Beliau berkata, peningkatan skala perdagangan antara anggota RCEP dilihat memerlukan syarat lebih tinggi khususnya dalam pengangkutan logistik.

Tambah Yuan, untuk enam bulan pertama 2022, China mempercepat pembinaan laluan darat dan penerbangan, serta meningkatkan kecekapan pelabuhan untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada peningkatan perdagangan dengan negara-negara RCEP.

“Sejak tahun ini, China dan anggota RCEP giat memperkasakan pembinaan laluan perdagangan baharu darat dan laut, landasan kereta api China-Laos dan laluan penerbangan di rantau RCEP.

“Ini turut menggalakkan kesalinghubungan serantau dan pembaikan suasana kerjasama serta pelaburan China dengan negara RCEP,” jelasnya lagi.