HK, Malaysia Boleh Kembang Inovasi Teknologi - Pakar

2022-07-01 20:11:42  cri
Share with:

 

Meskipun Hong Kong (HK) dan Malaysia berdepan dengan pelbagai ujian terkini, aspek inovasi teknologi dipercayai mampu dikembangkan lagi oleh kedua-dua pihak.

Menurut Pengerusi Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa UKM, Dr. Suffian Mansor, semua pihak sudah sedia maklum tentang kepakaran HK dan Tanah Besar dalam inovasi teknologi.

Beliau berkata, inovasi teknologi mampu memacu ekonomi baharu untuk Malaysia dengan memberikan bidang seperti bioteknologi, bandar pintar, kepintaran digital dan teknologi pertanian sebagai contoh.

“China sudah menggerakkan inovasi teknologi sejak 1998, dan telah menampakkan kejayaannya ketika menangani isu-isu terkini seperti Covid-19,” ujar Suffian.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara sempena ulang tahun ke-25 kepulangan HK ke tanah air.

Dalam pada itu, Suffian turut positif hubungan Malaysia dan HK atau China tidak akan terjejas meskipun terdapat gangguan.

Jelasnya, ia berikutan prinsip ASEAN dan Malaysia yang tidak campur tangan dengan urusan dalaman negara luar, tetapi lebih fokus kepada ekonomi.

“Malaysia dan China mempunyai hubungan istimewa sejak zaman dulu. Malaysia mengambil pendekatan bijak dan teliti termasuk tidak ganggu atau kritik seperti negara-negara Barat.”

Jelasnya, kestabilan penting bagi menjamin kemakmuran ekonomi di rantau Asia-Pasifik.