Lagi Bantuan Vaksin COVID-19 China ke ASEAN

2022-07-01 12:51:22  CRI
Share with:

China sekali lagi memberikan bantuan vaksin COVID-19 kepada Myanmar melalui ASEAN, sekali gus mencerminkan keutamaan China terhadap ASEAN dan sokongannya dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.

 

Menurut Duta Besar China ke Myanmar, Chen Hai, sejak berlakunya pandemik COVID-19, China dan Myanmar saling menyokong untuk bersama-sama mengatasi kesukaran serta cabaran.

 

“Setakat ini, China telah menyumbangkan 51 juta dos vaksin kepada Myanmar, membantu Myanmar merealisasikan pengisian dan pengeluaran vaksin tempatan, selain membuka saluran hijau untuk bahan pencegahan pandemik dieksport ke Myanmar,” ujar beliau.

 

Chen berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Vaksin COVID-19 oleh kerajaan China kepada ASEAN di Kedutaan China di Myanmar, pada Khamis.

 

Jelasnya, ASEAN merupakan antara tumpuan kerjasama China dalam usaha melawan pandemik dan China telah memberikan lebih 600 juta dos vaksin kepada negara ASEAN.

 

“China komited terus memperdalam perkongsian strategik komprehensifnya dengan ASEAN dan menjalankan kerjasama melawan pandemik dengan ASEAN demi memacu pemulihan ekonomi pasca pandemik,” kata Chen.

 

Dalam pada itu, beliau berkata China turut menyokong ASEAN dalam melaksanakan ‘lima konsensus’ dan memajukan proses pendamaian di Myanmar.

 

“Dasar persahabatan China terhadap Myanmar sentiasa ditujukan kepada semua rakyat Myanmar, dan akan terus memberikan bantuan yang diperlukan kepada Myanmar melalui pelbagai saluran.

 

“China juga akan bekerjasama dengan ASEAN bagi memainkan peranan yang membina dalam proses transformasi negara di Myanmar,” tambah Chen.

 

Sementara itu, Duta Khas ASEAN di Myanmar, Prak Sokhonn menghargai sokongan China kepada ASEAN dan menyatakan bahawa bantuan China tersebut menunjukkan komitmennya dalam kedudukan pusat ASEAN.

 

“ASEAN berharap membantu Myanmar kembali normal, menggalakkan pelaksanaan ‘Lima Konsensus’ anjuran ASEAN, meneruskan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar, selain mewujudkan suasana membina saling percaya pelbagai pihak hingga menambah kesejahteraan rakyat Myanmar,” katanya.

 

Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Ekkaphab Phanthavong yang turut hadir juga menzahirkan harapan agar lebih ramai rakan dialog ASEAN dapat menghulurkan bantuan kepada ASEAN seperti China dan menyokong usaha ASEAN.

 

Beliau berkata, bantuan kemanusiaan ASEAN kepada Myanmar akan menegakkan prinsip kemanusiaan, berkecuali, kesaksamaan dan kemerdekaan, dan menyampaikan bantuan kepada orang yang memerlukan di seluruh Myanmar.