Penumpang Kereta Api China-Laos Lepasi 4 Juta
Setakat Ahad, jumlah penumpang yang menaiki kereta api China-Laos dicatatkan sebanyak 4.11 juta sejak perkhidmatan berkenaan mula beroperasi tujuh bulan lepas.
Daripada jumlah tersebut, 3.57 juta penumpang menaiki tren melalui stesen di bahagian China manakala 540,000 lagi penumpang melalui stesen di Laos.
Sementara itu, kargo yang dihantar melalui rel itu mencatat 5.03 juta tan secara kumulatif, antaranya 840,000 tan adalah rentas sempadan.
Pada 1 Julai, sebuah tren kargo antarabangsa bertolak dari Zhengzhou, ibu kota provinsi Henan menuju ke Laos menerusi landasan kereta api China-Laos, dengan membawa papan keluli berwarna seberat 121 tan bernilai 2.21 juta yuan (RM1.46 juta).
Dengan mod “pemindahan eksport”, urusan kastam untuk kargo tersebut dijalankan dengan amat pantas ketika tiba di kastam Mohan, provinsi Yunnan.
Difahamkan, mod pelepasan kastam yang efisien lagi pantas itu telah diperkenalkan untuk mempermudah pengangkutan kargo melalui landasan kereta api China-Laos.
Menurut aturan yang ditetapkan, setibanya di kastam, kargo berkenaan hanya perlu diperiksa bahawa kontenanya berada dalam keadaan baik dan tidak pernah dibuka.
Pendekatan itu secara tidak langsung menjimatkan masa urusan untuk melalui sempadan serta kos pengangkutan.
Diinovasi dengan gabungan pengangkutan jalan raya, rel China-Laos itu juga menyumbang kepada pembentukan rantaian logistik sejuk beku yang menghubungkan China dengan negara Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Ia sekali gus mempermudah lagi pengangkutan produk pertanian antara negara-negara serantau.