Persepakatan Tercapai Xi, Biden Perlu Diterjemah dalam Bentuk Tindakan

2022-07-06 14:05:25  CRI
Share with:

Oleh: Zhang Hong, Kumpulan Media China (CMG)

 

Naib Perdana Menteri China, Liu He bertemu dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet L. Yellen melalui panggilan video pada Selasa.

Pertemuan itu diadakan menyusuli komunikasi menerusi telefon antara Presiden China Xi Jinping dan Presiden AS Joe Biden pada Mac lalu.

Dalam perbualan telefon itu, Xi dan Biden menegaskan perlunya persaingan dan perselisihan ditangani secara berkesan, serta memastikan hubungan bilateral terus berkembang dengan stabil.

Difahamkan, pertemuan antara Liu dan Yellen kali ini memfokuskan kepada situasi ekonomi makro serta kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global.

Ia sekali gus memperlihatkan tumpuan AS untuk menyelesaikan isu seperti inflasi dan rantaian bekalan.

Dalam hal ini, China kekal untuk bersikap terbuka dan percaya bahawa jalan keluarnya telah sedia ada iaitu AS perlu membatalkan tarif tambahan dan sekatan terhadap produk China, serta berlaku adil terhadap syarikat China.

Berdasarkan statisitik Institut Ekonomi Antarabangsa Peterson AS, sekiranya tarif tambahan yang dikenakan dalam perang perdagangan menyasarkan China dibatalkan, inflasi di negara itu mampu diturunkan sebanyak satu peratus.

Namun, seperti yang dinyatakan Xi dalam perbualannya dengan Biden pada Mac, hubungan China-AS bukan sahaja gagal mengatasi gangguan yang dilegasikan oleh kerajaan Donald Trump, bahkan semakin banyak menghadapi cabaran baharu.

Salah satu faktornya adalah sebahagian tokoh politik AS tidak melaksanakan persepakatan yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, termasuk kenyataan positif Biden mengenai hubungan bilateral.

Berdasarkan laporan media AS, Biden dijangka membatalkan sebahagian tarif tambahan yang dikenakan ke atas produk China dalam minggu ini.

Bagaimanapun, masih terdapat media melaporkan bahawa keputusan muktamad belum dikeluarkan susulan berlakunya bantahan dari Wakil Perdagangan AS, Katherine Tai.

Menurutnya, tarif tambahan memberi lebih banyak kuasa bertindak kepada AS dalam rundingan perdagangan dengan China.

Dalam situasi getir, adalah penting untuk pemimpin seperti Tai mengingati bahawa tugas mereka adalah untuk berunding dengan pelbagai negara bagi menjamin kehidupan bahagia rakyat AS, bukannya memperlihatkan imej anti-China demi mengaut lebih banyak laba politik.

Untuk rekod, Tai bukan satu-satunya tokoh besar dalam kerajaan Biden yang melanggar janji Biden untuk ‘tidak berperang dingin dengan China, tidak akan mengubah sistem pentadbiran China atau menentang China melalui pengukuhan ikatan sekutu, serta tiada niat untuk berkonflik dengan China’.

Meskipun menghadapi banyak gangguan, komunikasi antara China dan AS dalam pelbagai peringkat masih berlangsung lancar.

Selain komunikasi antara pemimpin utama kedua-dua negara, pertemuan pegawai kanan dalam bidang ketenteraan dan ekonomi turut diadakan untuk membantu menyuntik keyakinan kepada dunia mengenai situasi geopolitik yang stabil.

Namun demikian, keutamaan adalah memastikan semua persepakatan yang tercapai dapat diterjemah dalam bentuk tindakan, bukannya sekadar cakap kosong sahaja.