China, Thailand Capai Konsensus Penting
China dan Thailand komited menggembleng tenaga ke arah komuniti berkongsi nasib sekali gus mencipta masa depan hubungan bilateral yang lebih stabil, makmur dan mampan.
Kesepakatan itu hasil pertemuan antara Menteri Luar China, Wang Yi dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Don Pramudwinai di Bangkok pada Selasa.
Dalam taklimat media selepas pertemuan itu, Wang menyatakan tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 terjalinnya perkongsian kerjasama strategik komprehensif China-Thailand.
Hubungan kedua-dua negara terus berkembang dengan mantap sepanjang sepuluh tahun lalu serta mempamerkan potensi yang besar, katanya.
Beliau turut memaklumkan beberapa konsensus penting yang dicapai dalam pertemuan itu menerusi komunikasi strategik secara mendalam, antaranya termasuk mempercepat penyambungan rel kereta api China, Laos dan Thailand serta bersama-sama menjaga keselamatan siber.
Selain itu, kedua-dua pihak juga sepakat membentuk sinergi untuk menggalakkan keberhasilan sidang tidak rasmi pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Menurut Wang, China akan teguh menyokong Thailand sebagai tuan rumah sidang APEC tahun ini, serta peranannya dalam mengetuai pelbagai pihak memfokuskan kepada pembangunan serantau dan pembinaan zon perdagangan bebas Asia Pasifik.
Jelas beliau, ia adalah untuk menyuntik dorongan kuat yang baharu kepada pembangunan APEC berpandukan Visi Putrajaya 2040.