Yan Shuyan, Petani Wanita Moden

2022-07-06 18:33:22  CRI
Share with:

Sebuah dron perlindungan tanaman pertanian kelihatan berlepas dan berterbangan dengan bunyi dengung selepas diisi racun perosak.

Ia merentasi sawah padi yang luas terbentang, kemudian mula menyembur racun perosak secara automatik.

Operasi dron ini sebenarnya dikendalikan secara mahir oleh seorang petani perempuan yang bernama Yan Shuyan.

Yan merupakan seorang penanam bijirin utama di kampung Yongxing, bandar Chongqing, barat daya China.

Dia mengelolakan 106 hektar ladang pertanian, sekali gus berjaya menjana pendapatan lumayan dengan memanfaatkan teknologi moden serta mengadaptasi mekanisasi pembajakan dan penanaman.

Yan yang dilahirkan pada 1983 mula-mulanya mencari rezeki di bandar lain.

Pada 2018, dia pulang mengunjungi saudara-mara dan melihat perkembangan kampung halamannya bertambah baik berbanding dahulu.

Selepas mengetahui tentang siri dasar keutamaan bagi membantu kaum tani, Yan menyedari bahawa mencebur diri dalam bidang pertanian dapat membuahkan hasil yang lumayan pada masa hadapan.

Memandangkan pertanian moden berkembang konsisten, Yan dan suaminya membeli jentera dan peralatan pertanian pertama yang bernilai lebih 100,000 yuan (RM65,950) sebagai percubaan untuk mengusahakan mekanisasi pertanian.

Secara beransur-ansur, Yan bukan hanya mampu memandu traktor, jentera penuai, pembajak dan penyemai benih, malah pandai menggunakan dron perlindungan tumbuhan untuk menyemai, membaja dan menyembur racun perosak.

Bahkan beliau juga mampu melakukan penyenggaraan mesin berkenaan, iaitu sinonim untuk seseorang mendapat gelaran sebagai petani wanita moden.

Bagi memanjangkan rantaian perindustrian, Yan dan suaminya turut menubuhkan sebuah koperasi untuk memindahkan hak penggunaan tanah dari empat kampung sekitar dan berjaya menarik kehadiran hampir 80 orang petani untuk bekerja di koperasi tersebut.