Kerjasama LMC Jadi Teladan Baik
Enam negara anggota mekanisme Kerjasama Lancang-Mekong (LMC) berganding bahu untuk mengekang penularan pandemik COVID-19, mendorong kesalinghubungan bermutu tinggi, mempergiat kerjasama setempat, dan melaksanakan projek-projek untuk kesejahteraan rakyat, sehingga menjadikan LMC teladan baik kerjasama serantau.
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata demikian ketika diminta memberikan komen tentang Mesyuarat Menteri Luar LMC ke-7 yang diadakan di Myanmar pada Selasa.
Zhao berkata, China telah memberikan lebih 200 juta dos vaksin COVID-19 kepada negara-negara di lembah Sungai Mekong, menjalinkan hubungan provinsi dan bandar kembar dengan hampir 150 provinsi dan bandar dari lima negara terbabit.
Pada masa yang sama, jumlah perdagangan antara China dengan lima negara tersebut mencatat USD398 bilion pada tahun 2021, naik 23 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, kerjasama pragmatik antara China dengan lima negara itu memberikan sumbangan penting bagi pemulihan ekonomi negara-negara LMC dan kemakmuran serantau.
Menurutnya, enam negara LMC akan menaiktarafkan kerjasama dari enam aspek iaitu meningkatkan panduan strategi, mempergiat integrasi ekonomi, memperkasakan kerjasama pertanian, mengekalkan pembangunan hijau, mendorong kerjasama digital, dan mengeratkan pertukaran lawatan rakyat.
Selain itu, negara LMC akan berusaha bersama-sama membina kawasan teladan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bermutu tinggi, zon perintis inisiatif pembangunan global, zon kerjasama inisiatif keselamatan global, membina zon pembangunan ekonomi kawasan aliran Sungai Lancang-Mekong yang lebih bertahan, serta membina komuniti berkongsi nasib negara Lancang-Mekong yang lebih erat.