China Seru Semua Pihak Tolak ‘Perang Dingin Baharu’

2022-07-08 13:11:09  cri
Share with:

Semua pihak perlu menolak hasutan ke arah mentaliti Perang Dingin, konfrontasi sesama blok dan mencetuskan ‘Perang Dingin baharu’.

Demikian kata Menteri Luar China, Wang Yi dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari India, Subrahmanyam Jaishankar sempena Mesyuarat Menteri Luar Kumpulan 20 (G20) pada Khamis.

Beliau yang juga ahli Dewan Negara turut menyuarakan kebimbangan China terhadap situasi semasa Ukraine.

“Tatkala berdepan cabaran yang kompleks dan serius, dunia cakna serta memerlukan solidariti dan dialog, bukannya perpecahan dan konfrontasi.

“China akan terus berpendirian teguh menyokong pihak yang betul, dan menggalakkan rundingan damai”, ujar Wang.

Di samping itu, China menentang amalan dwistandard yang menjejaskan kedaulatan dan keutuhan wilayah China.

Wang berkata terdapat sesetengah negara yang kononnya menegakkan prinsip kedaulatan dalam isu Ukraine, namun pada masa sama mencabar kedaulatan China dan prinsip satu China dalam isu Taiwan.

Malah katanya, negara-negara berkenaan juga sengaja mencetuskan ketegangan di Selat Taiwan.

Tambah Wang, China juga menentang amalan yang menjejaskan hak dan kepentingan pembangunan negara lain.

“Terdapat negara yang mengenakan sekatan sepihak dengan sewenang-wenangnya ke atas China dan negara-negara lain atas nama krisis Ukraine.

“Tindakan itu adalah tidak wajar dan tidak sah, dan merosakkan hubungan normal sesama negara serta melanggar kelaziman perdagangan antarabangsa,” katanya.  

Beliau menyeru pelbagai pihak menentang amalan tersebut dan berusaha mewujudkan iklim kerjasama antarabangsa yang terbuka, adil dan tanpa diskriminasi.