Wang Yi dan Blinken Bincang Hubungan Dua Hala

2022-07-10 18:14:50  CRI
Share with:

Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken setelah menyertai sidang menteri luar Kumpulan 20 (G20) di Bali, Indonesia pada Sabtu.

Mereka telah mengadakan pertukaran yang komprehensif dan mendalam tentang hubungan dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang diberikan perhatian bersama.

Menurut mereka, pertemuan ini adalah substantif dan membina, dan kondusif bagi meningkatkan persefahaman dan mengurangkan salah faham serta salah pertimbangan sehingga menyediakan syarat untuk pertukaran peringkat tinggi kedua-dua negara pada masa depan.

Wang Yi mengatakan, hubungan China-AS masih belum keluar dari kesulitan yang diwujudkan oleh kerajaan AS penggal dahulu, malah menghadapi semakin banyak cabaran. Pelaksanaan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara ialah asas untuk mengatasi kesulitan pada masa ini.

China tetap mengembangkan hubungan dengan AS berasaskan tiga prinsip yang dikemukakan oleh Presiden, Xi Jinping iaitu saling menghormati, hidup bersama secara damai dan kerjasama menang-menang. AS dikehendaki mematuhi komitmen Presiden Joe Biden iaitu tidak melancarkan ‘Perang Dingin baharu’ terhadap China, tidak mengubah sistem China, tidak meningkatkan hubungan sekutu untuk menentang China, tidak menyokong ‘kemerdekaan Taiwan’ dan tidak berniat berkonflik dengan China. Selain itu, AS patut menarik balik tarif tambahan ke atas barangan China dan menghentikan sekatan sepihak terhadap perusahaan China.

Selain itu, Wang Yi telah mengulangi pendirian China dalam isu Taiwan. Beliau menuntut AS bercakap dengan berhati-hati dan jangan memberikan isyarat yang salah kepada kumpulan ‘kemerdekaan Taiwan’, jangan memandang rendah keazaman teguh rakyat China untuk mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah, dan sama sekali jangan membuat kesilapan subversif yang merosakkan keamanan di kawasan Selat Taiwan.

Beliau turut membidas pandangan salah AS melibatkan isu Xinjiang, Hong Kong dan maritim.

Blinken memperkenalkan dasarnya terhadap China dan menyatkan, AS tidak berniat melancarkan ‘Perang Dingin baharu’ terhadap China, tidak hendak mengubah sistem China, tidak mencabar kedudukan Parti Komunis China (PKC) sebagai parti pemerintah, tidak mengekang China, tidak menyokong ‘kemerdekaan Taiwan’, dan tidak mengubah situasi semasa di kawasan Selat Taiwan. AS komited mengawal unsur risiko dalam hubungan dua hala dan bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan China.