Cakap Biar Serupa Bikin

2022-07-11 15:32:29  CRI
Share with:

Sejak kerajaan Presiden Joe Biden berkuasa, Amerika Syarikat (AS) berkali-kali mendakwa pihaknya ingin memasang 'rel adang' untuk hubungan China-AS.

Bagaimanapun, pihak AS tidak memberi penjelasan lanjut, sedangkan ia tiada hak untuk mendefinisikan 'rel adang' itu secara unilateral.

Pertemuan antara Menteri Luar China, Wang Yi dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken sempena Mesyuarat Menteri Luar Kumpulan 20 (G20) di Bali, Indonesia pada Sabtu membolehkan dunia melihat dengan jelas bahawa 'rel adang' hubungan China-AS terwujud sejak sekian lama, dan AS perlu cakap serupa bikin dan memikul tanggungjawab untuk mengukuhkan 'rel adang' itu.

Dalam pertemuan kali ini, Wang Yi menekankan bahawa tiga pengumuman bersama China-AS merupakan 'rel adang' yang paling boleh dipercayai dalam mengekalkan ikatan dua hala, dan ia turut menjadi tumpuan bersama dunia.

Apakah pokok persoalan tentang kesulitan yang dialami hubungan kedua-dua negara, dan bagaimana caranya untuk mengembalikan hubungan itu ke landasan betul?

Semasa menemui Blinken, Wang Yi yang merangkap ahli Dewan Negara berkata ketidakpatuhan prinsip dan semangat ditetapkan dalam tiga pengumuman bersama merupakan punca utama yang menyebabkan hubungan China-AS berdepan cabaran yang tidak pernah berlaku sejak terjalinnya hubungan diplomatik.

Sepanjang lima dekad lalu, China sentiasa bertungkus lumus menjaga 'rel adang' itu, sebaliknya AS terus-menerus mencampuri urusan dalaman China, mengekang China dengan mempergunakan isu Taiwan, membentuk persekutuan baharu bagi membendung China hingga menyebabkan 'rel adang' hubungan China-AS menjadi longgar dan rosak.

Realitinya, usaha menyegerakan pelaksanaan konsensus dicapai pemimpin kedua-dua negara dianggap penting bagi memperteguh 'rel adang' hubungan China-AS. 

Demi mendorong hubungan China-AS berkembang ke arah sihat, pemimpin AS perlulah benar-benar mengotakan semua janji dan komitmen yang telah dibuat dan jangan cakap tidak serupa bikin.