Joko Widodo Temu Wang Yi di Jakarta

2022-07-12 14:40:09  CRI
Share with:

Presiden Indonesia, Joko Widodo mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi di Jakarta pada Isnin.

Joko Widodo dalam pertemuan itu menzahirkan hasrat untuk memperdalam kerjasama dengan China dalam bidang-bidang yang melibatkan ekonomi dan perdagangan, pelaburan, digital dan pembangunan mesra alam.

Beliau turut menegaskan perlunya memperkasa sinergi bagi mendorong pelaksanaan projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang penting termasuk pembinaan landasan kereta api Jakarta-Bandung.

Wang Yi pula berkata, China dan Indonesia membentuk landskap hubungan baharu bersandarkan ‘pacuan empat roda’ iaitu politik, ekonomi, sosiobudaya dan kerjasama maritim, sekali gus membuka prospek yang luas kepada hubungan kedua-dua negara.

Beliau menyarankan kedua-dua pihak supaya terus memperkasa kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang, berusaha bersama bagi memastikan pengoperasian landasan kereta api Jakarta-Bandung menurut jadual, mencapai keberhasilan peringkat awal Koridor Ekonomi Komprehensif Serantau, di samping memupuk titik pertumbuhan baharu dalam bidang ekonomi digital, pembangunan mesra alam dan ekonomi biru.