Kekang China Guna Bidak Asia Barat

2022-07-12 14:16:52  CRI
Share with:

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadual mengadakan siri lawatan ke Israel, Tebing Barat dan Arab Saudi minggu ini, menjadikannya menjejakkan kaki ke Asia Barat buat pertama kali selepas menyandang jawatan sebagai ketua negara.

Beliau menyifatkan lawatan tersebut sebagai amat penting kepada keselamatan negaranya, sambil menekankan perlunya mengalahkan China dalam persaingan.

Rangkaian kabel berita AS, CNN melaporkan, Presiden Biden mustahil pergi ke Asia Barat seandainya tidak berlaku konflik Rusia-Ukraine yang menyebabkan kegawatan pasaran minyak global.

Kini, harga minyak yang melambung tinggi, inflasi yang teruk serta kebimbangan masyarakat terhadap kemelesetan ekonomi, memberi banyak tekanan kepada pentadbiran Biden yang menghadapi pilihan raya pertengahan penggal.

Arab Saudi, satu-satunya negara pengeluar minyak yang mempunyai kapasiti berlebihan dan keupayaan untuk menstabilkan bekalan global, merupakan kunci yang sangat penting bagi menambah baik situasi berkenaan.

Pada ketika ini, berlakunya herotan ke atas landskap politik di AS, dan arus politik negara itu kini ditentukan aliran pemikiran yang datangnya daripada anti-China.

Presiden itu menyebut-nyebut ‘persaingan dengan China’ untuk mengalihkan perhatian ahli politik dan mewajarkan perjalanannya ke Arab Saudi.

Ia juga mencerminkan niat AS untuk menjadikan Asia Barat sebagai papan catur dalam mainan strategik dengan China dan Rusia.

Hakikatnya, kedudukan Asia Barat merosot dalam strategi global AS di bawah cengkaman pemerintah Biden selama lebih setahun.

Pada masa sama, selaku hab Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Asia Barat beroleh hasil yang memberangsangkan berkat kerjasama dengan China.

Ahli politik AS turut iri hati melihat pencapaian tersebut, dan bimbang akan pengaruhnya di kawasan berkenaan terjejas.

Dalam konteks ‘globalisasi’ Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) oleh AS, Asia Barat telah diposisikan ke dalam radar politiknya.

Ramai beranggapan, nyata sekali cubaan AS mewujudkan pakatan rantau baharu, seperti ‘NATO versi Asia Barat’ untuk mengekang China.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang negara sudi mengetepikan kepentingan sendiri dan menjadi buah catur yang dimainkan AS hanya demi hegemoninya.