China, Malaysia Sasar Kesalinghubungan Lebih Mantap
Malaysia bersedia mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China, di samping meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dan memantapkan kesalinghubungan.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyatakan pihaknya juga sedia bergabung tenaga dengan China untuk mempercepat pembinaan bersama projek ikonik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), serta memperluas kerjasama inovasi ke arah merealisasikan lonjakan dalam pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi di Kuala Lumpur pada Selasa.
Saifuddin turut memuji Inisiatif Pembangunan Global yang diajukan Presiden Xi Jinping, dengan menyifatkannya memberi dorongan kuat kepada negara-negara membangun dalam usaha ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seawal mungkin.
Sementara itu, Wang Yi berkata berdepan situasi antarabangsa yang penuh unsur ketidaktentuan, China bersedia memperkukuh komunikasi dan penyelarasan strategik dengan Malaysia, bersinergi mempertahankan hak dan kepentingan sah masing-masing, sekali gus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan dunia.
Hasil pertemuan kali ini, China dan Malaysia sepakat melaksanakan sepenuhnya dapatan mesyuarat pertama jawatankuasa peringkat tinggi mengenai kerjasama kedua-dua negara, di samping terus memantapkan kolaborasi pragmatik membabitkan pelbagai aspek.
kedua-dua pihak akan terus memperkasakan kolaborasi dalam perjuangan membendung pandemik COVID-19. Dalam pada itu, China akan membantu Malaysia membina pusat pengeluaran vaksin serantau.
China dan Malaysia juga komited terus menjana keberhasilan projek ‘dua negara dua taman’, dan mempercepat projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) secara berkualiti tinggi.
Selain itu, kerjasama sektor perindustrian akan terus diperluas membabitkan komunikasi digital, kecerdasan buatan (AI), data besar, pengkomputeran awan, tenaga alternatif, perlindungan alam sekitar dan banyak lagi.