Usaha Perlindungan Glasier di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet China

2022-07-13 13:16:01  CRI
Share with:

Dataran Tinggi Qinghai-Tibet meprupakan dataran tinggi terbesar dan tertinggi di dunia.

Di sana, air tersimpan dalam bentuk glasier, tanah beku dan tasik, sehingga dataran tinggi itu menjadi tempat sumber bagi 13 batang sungai besar di Asia selain turut dikenali sebagai "Menara air Asia".

Difahamkan, jumlah air tawar yang terperangkap dalam glasier merupakan dua pertiga daripada jumlah keseluruhan air tawar di dunia, dan membantu dalam mengawal paras permukaan air sungai, selain membekal sumber air berharga bagi pengairan ladang di kawasan kering. 

Untuk rekod, jumlah glasier di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet merupakan yang terbanyak di dunia selepas Kutub Utara dan Selatan.

Namun, suhu udara di dataran tinggi itu semakin hangat berikutan fenomena pemanasan global.

“Data menunjukkan kadar kelajuan peningkatan suhu udara di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet lebih tinggi dua kali ganda berbanding dengan kelajuan purata dunia sehingga menyebabkan pengunduran glasier dan peningkatan keluasan tasik.

“Ketidakseimbangan di ‘Menara air Asia’ menjadi pembawa malapetaka yang semakin teruk, maka usaha perlu dilakukan untuk menangani masalah tersebut,” ujar ahli akademik Akademi Sains China, Yao Tandong.

Pencairan glasier sinonim dengan pelbagai kesan buruk yang melibatkan bencana longsoran ais, banjir, kekurangan sumber air tawar dan risiko lain kepada dunia ini.

Kini, kerajaan China memberikan tumpuan kepada pencairan glasier dan turut mengambil pelbagai langkah untuk melindungi glasier di dataran tinggi tersebut.

Ia termasuk penggubalan undang-undang perlindungan ekologi di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet, membentuk zon perlindungan glasier, mengenakan sekatan ketat terhadap pelancongan di kawasan glasier serta memelihara dan mengawal secara bersepadu gunung, sungai, hutan, ladang, tasik, rumput, pasir dan ais di kawasan itu.