China Komited Terus Salur Bantuan kepada Sri Lanka

2022-07-13 15:18:31  CRI
Share with:

China akan terus menghulurkan bantuan sedapat mungkin kepada Sri Lanka untuk memacu pemulihan ekonomi dan menambah baik kesejahteraan rakyat negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin dalam taklimat media pada Selasa berkata, China sama merasai kesulitan dan cabaran yang dihadapi Sri Lanka buat masa ini, dan telah menyediakan bantuan kemanusiaan kecemasan berupa bahan makanan dan ubat-ubatan kepadanya.

Pada masa sama, China turut menyalurkan bantuan bagi meningkatkan kebajikan rakyat Sri Lanka secara berperingkat menerusi saluran kerajaan, agensi setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menyentuh isu hutang Sri Lanka, Wang menyatakan China menyokong institusi kewangan berkenaan berunding dengan pihak Sri Lanka untuk mencari penyelesaian yang sesuai. 

"China bersedia bersama-sama negara terbabit dan institusi kewangan antarabangsa terus berperanan positif bagi membantu Sri Lanka mengatasi kesukaran semasa, meringankan beban hutangnya, dan mencapai pembangunan mampan," tambah beliau.