China, Malaysia Ikrar Perkasa Kerjasama Pragmatik

2022-07-13 11:53:10  CRI
Share with:

Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari China, dan bersedia bersama-sama China menjayakan projek penting Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) hingga menjadi model kesalinghubungan serantau.  

Demikian titah Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menemui Menteri Luar China, Wang Yi di Kuala Lumpur pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap kolaborasi Malaysia-China dalam melawan wabak COVID-19, serta projek kerjasama “dua negara dua taman” yang berperanan penting bagi memacu pembangunan ekonomi Malaysia.

Baginda turut bertitah, Malaysia berharap untuk mengekalkan pertukaran peringkat tinggi dengan China, sambil memperkukuh penyelarasan dan kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang.

Wang Yi pula menyatakan China muncul sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 13 tahun berturut-turut, sementara kerjasama kedua-dua negara melibatkan segenap aspek membuahkan hasil yang memberangsangkan.

China bersedia memperdalam penyelarasan strategi pembangunan dengan Malaysia dan memantapkan usaha sama membangunkan BRI secara berkualiti tinggi, menyasarkan untuk membina zon demonstrasi kerjasama kapasiti pengeluaran dan zon rintis pembangunan inovatif.

Selain itu, China juga akan membantu Malaysia memanfaatkan sepenuhnya kelebihan dari segi sumber dan kedudukan geografi untuk meningkatkan taraf pengindustrian.

Wang turut berkata, China akan bersama-sama Malaysia memelihara keamanan dan kestabilan serantau sekali gus menyumbang kepada pembangunan umat manusia.