Wang Yi Syor Pemantapan Hubungan China-ASEAN

2022-07-13 14:24:59  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi mengesyorkan beberapa cadangan mengenai pengukuhan hubungan China-ASEAN serta pemantapan keamanan dan kemakmuran rantau sempena lawatannya ke Sekretariat ASEAN pada Isnin.

Jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin mengupas lebih lanjut mengenai cadangan ahli Dewan Negara itu, yang turut mendapat sahutan dalam kalangan pegawai ASEAN.

Jurucakap itu memetik kenyataan Wang Yi sebagai berkata, terdapat dua arah aliran yang sama sekali berbeza mengenai masa depan Asia.

"Ia termasuk regionalisme atau semangat keserantauan, yang mendukung multilateralisme jitu, mengutamakan pembangunan dan memantapkan kerjasama saling menguntungkan.

"Yang lain adalah mentaliti Perang Dingin, merujuk kepada politik kumpulan tertutup, yang mengklasifikasikan negara-negara di rantau ini berdasarkan nilai dan membahagikan ekonomi rantau kepada blok berbeza, malahan menggunakan pendekatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk keselamatan Asia Pasifik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pendirian China berhubung dua aliran tersebut.

"Seperti yang ditegaskan Menteri Luar Wang Yi, pilihan kami adalah untuk berganding bahu dengan anggota ASEAN dan negara rantau lain untuk menyemarakkan semangat keserantauan dan konsep berteraskan damai, membangun, bermandiri dan inklusif.

"Pada masa sama, kita perlu menimba kebijaksanaan daripada tamadun Asia dan pengalaman berkenaan, terus memberikan konotasi baharu kepada regionalisme yang terbuka,” ujar beliau.

Selain itu, empat aspek perlu diperkukuhkan dengan penekanan terhadap konsep hidup bersama secara damai, matlamat pembangunan dan rejuvenasi, prinsip kemandirian serta semangat keterbukaan dan keterangkuman.