PM Malaysia Temui Wang Yi

2022-07-13 12:25:46  cri
Share with:

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan rundingan dengan ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi di Kuala Lumpur pada Selasa.

Wang dalam rundingan itu berkata, hubungan China-Malaysia yang mengekalkan trend perkembangan mantap, membawa kesejahteraan kepada kedua-dua negara dan rakyatnya, di samping memberi sumbangan positif kepada kedamaian dan kemakmuran serantau dan dunia.

Beliau menzahirkan hasrat China untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam segenap asepk termasuk kesalinghubungan, ekonomi digital, pembangunan mesra alam dan pertanian.

Wang berkata, China sentiasa memandang hubungan bilateral dengan Malaysia dari perspektif strategik dan jangka panjang, serta menyokong Malaysia memainkan peranan penting dalam urusan serantau dan antarabangsa.

Berdepan situasi antarabangsa yang kompleks, China bersedia memperkasa sinergi dengan Malaysia bagi membawa lebih banyak kemantapan kepada dunia.  

Tambah beliau, konsep ‘dunia adalah keluarga’ yang disarankan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyasar matlamat yang sama dengan gagasan komuniti berkongsi nasib sesama insan yang dikemukakan Presiden Xi Jinping.  

China bersedia meningkatkan penyelarasan dengan Malaysia bagi berganding bahu ke arah komuniti berkongsi nasib dan menyuntik konotasi baharu kepada persahabatan kedua-dua negara.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, Malaysia dan China telah lama mengekalkan hubungan persahabatan yang erat. Malaysia antara negara ASEAN yang paling awal menjalin hubungan diplomatik dengan China. Kerjasama pragmatik kedua-dua negara membuahkan hasil yang menggalakkan, dan menyaksikan pelbagai projek berskala besar dilaksanakan dengan lancar.

Malaysia bersedia memperdalam kerjasama dan kesalinghubungan antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang dan aktif membincangkan penglibatan dalam kerjasama pembinaan rel Trans-Asia.

Malaysia juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat China melabur di negara itu, dan menjalankan kerjasama sains dan teknologi tinggi termasuk teknologi telekomunikasi generasi kelima (5G).

Kata beliau, Malaysia mengutamakan siri inisiatif penting yang disyorkan Presiden Xi, dan menghargai sumbangan China kepada tadbir urus global.

Malaysia bersedia meningkatkan penyelarasan dengan China dalam urusan multilateral dan berusaha bersama untuk menangani cabaran global termasuk keselamatan makanan, selain mempertahankan kedamaian dan keadilan.