China, Vietnam Komited Terjemah Konsensus dalam Bentuk Tindakan

2022-07-14 12:07:45  CRI
Share with:

China dan Vietnam bersetuju mengenai kepentingan meningkatkan penyelarasan bagi memastikan konsensus tercapai diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang mampu memperkukuh kerjasama dua negara membabitkan pelbagai bidang.

Kata sepakat itu hasil mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bimbingan Kerjasama Bilateral China-Vietnam yang dipengerusikan ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar Wang Yi bersama Timbalan Perdana Menteri Tetap Vietnam Pham Binh Minh di Nanning, wilayah Guangxi, pada Rabu.

Dua negara itu senada dalam menyatakan keinginan untuk memperkasakan kesalinghubungan menerusi usaha sama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan ‘Dua Koridor dan Satu Bulatan Ekonomi’.

Kedua-dua pihak akan melakukan perbincangan lanjut mengenai penubuhan mekanisme untuk memastikan kelancaran operasi rantaian bekalan dan rantaian perindustrian, di samping menjamin urusan pelepasan kastam dikendali dengan lancar dan berhemah.

Antara hasil perbincangan lain yang turut dicapai ialah meningkatkan kerjasama dalam bidang pertanian, usaha memerangi wabak COVID-19 dan industri baru muncul, menangani isu marin sensitif dengan sebaik-baiknya, serta memperkukuh perpaduan dan koordinasi dalam urusan rantau dan antarabangsa.