Beijing Konsisten Isu Laut China Selatan

2022-07-14 11:38:10  CRI
Share with:

Beijing sentiasa konsisten dalam pendiriannya terhadap kes timbang tara mengenai isu Laut China Selatan kerana ia batal dan tak sah dengan melanggar undang-undang antarabangsa.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin sebagai respons terhadap kenyataan yang masing-masing dikeluarkan Filipina dan Amerika Syarikat (AS) berhubung kes timbang tara berkenaan. 

“Kami (China) tidak menerima atau mengiktirafnya, dan menolak sebarang tuntutan atau tindakan berdasarkan timbang tara itu. Dengan berbuat demikian, kami menegakkan kedaulatan undang-undang antarabangsa,” kata Wang dalam taklimat harian di Beijing pada Rabu.

Beliau menegaskan, pendirian China mendapat pemahaman umum dan sokongan luas daripada masyarakat antarabangsa.

“Sebarang cubaan mencemari kedaulatan dan menjejaskan kepentingan China dengan dalih timbang tara, takkan berjaya. Kami akan bertindak balas terhadap cubaan sedemikian di sisi undang-undang,” tambah beliau.

Wang turut memberi amaran kepada AS supaya menghormati kedaulatan, hak dan kepentingan China di Laut China Selatan, berhenti mencetuskan masalah di perairan berkenaan, dan jangan menyemai perbalahan dalam kalangan negara rantau.