Dagangan Luar China Lebih Berdaya Tahan

2022-07-14 16:12:51  CRI
Share with:

Prestasi dagangan luar China meneruskan momentum kukuh dengan nilai keseluruhan import dan eksport barangan mencatat RMB19.8 trilion (RM13.05 trilion) pada separuh pertama tahun ini, menokok 9.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. 

Penularan semula wabak COVID-19 di kawasan perdagangan luar utama seperti Shenzhen dan Shanghai telah memberi impak besar kepada import dan eksport China pada April.

Dengan penyambungan semula kegiatan pengeluaran susulan wabak reda, dagangan luar China menyaksikan lantunan kukuh dalam dua bulan berikutnya.

Sektor perdagangan luar China mampu menahan ‘ujian tekanan’ kali ini adalah disebabkan dunia memerlukan China.

Selepas beberapa dekad berkembang, China muncul sebagai satu-satunya negara yang mempunyai kesemua kategori industri menurut klasifikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, China juga antara pengeluar produk perindustrian utama dengan lebih 220 jenis produk dihasilkannya merekodkan output paling tinggi di dunia.

Kemantapan prestasi eksportnya membuktikan bahawa ‘Buatan China’ adalah tidak dapat diganti.

Berkat usaha bersepadu kerajaan China dalam mencegah wabak dan memacu pembangunan sosioekonomi, ekonomi makro terus dimantapkan, sementara aktiviti pengeluaran domestik kembali pulih secara beransur-ansur.

Didorong penawaran dan permintaan yang kukuh, serta keberkesanan siri dasar kerajaan bagi menstabilkan dagangan luar, kedudukan China dalam rantaian bekalan dan perindustrian global semakin kukuh.

Selepas mengharungi ‘ujian tekanan’, perdagangan luar China kini lebih berdaya tahan, sekali gus meletakkan asas kukuh untuk memastikan pertumbuhan mantap sektor berkenaan sepanjang tahun.