China, Filipina Sepakat Ke Arah ‘Era Keemasan’ Baharu
China dan Filipina komited terus mempertingkatkan jalinan dua hala dan kerjasama saling menguntungkan ke arah menyingkap ‘era keemasan’ baharu bagi hubungan sesama negara.
Jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin mengupas lebih lanjut mengenai hasil lawatan ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi ke Filipina mutakhir ini.
“Kedua-dua pihak sependapat bahawa perkembangan hubungan bilateral yang sihat dan mantap selaras dengan kepentingan asas dan jangka panjang rakyat dua negara,” katanya semasa sesi taklimat di Beijing pada Jumaat.
Menurut Wang, kedua-dua pihak turut senada menegaskan isu Laut China Selatan tidak mewakili keseluruhan hubungan China-Filipina, dan kerjasama yang sedia terjalin tidak boleh dibiarkan terganggu susulan perselisihan berkenaan.
Dalam pada itu, China menekankan perlunya mengetepikan pertikaian dan menggunakan kebijaksanaan politik untuk menggalakkan penerokaan bersama.
Sementara itu, Filipina menyuarakan kesediaan mengadakan komunikasi jujur dengan China untuk mencari penyelesaian yang sesuai, di samping bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan perairan berkenaan.