Eropah di Ambang Kritikal Tanpa Gas
Operasi saluran paip gas asli 'Nord Stream 1' yang menghubungkan Rusia ke Eropah digantung kerana penyelenggaraan bermula 11 hingga 21 Julai.
Bekalan terputus menyebabkan negara Eropah sangat resah gelisah apabila berada di ambang kritikal penyimpanan gas yang diperlukan sebelum tibanya musim sejuk.
Setelah tercetusnya konflik Rusia-Ukraine, Eropah mengenakan sekatan terhadap Rusia di belakang Amerika Syarikat (AS), mengakibatkan bekalan dari Rusia berkurangan dan harga gas melambung tinggi.
Diselubungi krisis tenaga, rakyat Eropah kini mengharungi cabaran hidup. Mereka dalam pusaran konflik Rusia-Ukraine, dan bimbang bahawa bekalan gas Rusia melalui saluran paip 'Nord Stream 1' akan dihentikan sepenuhnya.
Walaupun kerajaan Perancis, Austria, Itali, Greece dan negara lain bersiap sedia untuk menghadapi impak berkenaan, tetapi adalah sukar bagi mereka mencari alternatif untuk memastikan kelangsungan bekalan gas dalam masa singkat.
Pada masa sama, inflasi didorong krisis tenaga melanda Eropah, menyebabkan segenap aspek kehidupan rakyat benua itu terkena tempias.
Antaranya termasuk kelembapan yang ketara dalam pertumbuhan ekonomi, kebimbangan pasaran terhadap kemelesetan zon Euro dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS. Pada 12 Julai, Euro menjunam ke paras terendah sejak 20 tahun berbanding dolar AS.
Meniru perbuatan AS menindas Rusia, ahli politik Eropah sedang menerima padah besar dengan tekanan berat menanti mereka. Ia juga menyebabkan rakyat terjerumus dalam kemudaratan. Semakin ramai yang menyedari bahawa mereka menjadi mangsa konflik Rusia-Ukraine.
Dibuktikan bahawa sekatan unilateral bukanlah penyelesaian, sebaliknya menimbulkan masalah baharu.
Daripada menempuh satu jalan menuju ke arah bertentangan di belakang AS, apa yang penting ketika ini adalah fokus ahli politik Eropah beralih kepada usaha mencari pendekatan yang lebih positif dan berkesan untuk mendorong perundingan dan meredakan krisis.