Ekonomi China Kembali Mampan, Tetap Berdaya Tahan

2022-07-16 16:02:07  CRI
Share with:

Perkataan ‘berdaya tahan’ selalu digunakan masyarakat antarabangsa ketika menyentuh tentang ekonomi China.

Menurut data Biro Statistik Negara (NBS), jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China mencatat RMB56.2642 trilion (RM36.9463 trilion) pada setengah pertama tahun ini, menokok 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Prestasi itu dianggap bukan mudah dicapai terutamanya apabila indeks pengeluaran dan permintaan utama domestik mengalami penurunan pada bulan April dan Mei. Ia sekali gus memaparkan daya tahan ekonomi China yang kuat.

Di samping itu, indeks harga pengguna (CPI) China meningkat 1.7 peratus dalam tempoh tersebut, jauh lebih rendah daripada kenaikan yang melebihi 8 peratus di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Prestasi itu turut menyumbang kepada kemantapan ekonomi China dan penambahbaikan kehidupan rakyat.

Selain itu, tatkala berdepan cabaran inflasi akibat kenaikan harga komoditi pukal di pasaran antarabangsa, China berjaya menstabilkan harga barangan di pasaran domestik menerusi usaha memantapkan pengeluaran bijirin dan tenaga.

Seiring wabak semakin reda dan didorong oleh insentif daripada dasar-dasar kerajaan, kelebihan ekonomi China kian menonjol khususnya dengan saiznya yang besar, pasaran yang luas serta daya tahan yang kuat.

Operasi ekonomi China dapat dilihat menerusi prestasinya yang kembali mampan biarpun menghadapi pelbagai kesulitan pada setengah tahun pertama. Ia bukan sahaja memperlihatkan ekonomi China berdaya tahan tinggi, malah turut menambah keyakinan rakyat negara ini untuk merungkai pelbagai jenis cabaran.