China, Indonesia Sasar Jadi Model Pembangunan Bersama
China dan Indonesia sepakat bersinergi ke arah komuniti berkongsi nasib sekali gus menjadi teladan kolaborasi saling untung, model pembangunan bersama dan pelopor kerjasama Selatan-Selatan.
Jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin pada Jumaat memberi taklimat mengenai hasil mesyuarat kedua mekanisme dialog dan kerjasama peringkat tinggi China-Indonesia yang diadakan di Pulau Bali baru-baru ini.
Menurut Wang, kedua-dua pihak komited mempercepat kerjasama berlandaskan ‘pacuan empat roda’ iaitu politik, ekonomi, sosiobudaya dan maritim, dengan memfokuskan projek ikonik seperti landasan kereta api laju (HSR) Jakarta-Bandung, Koridor Ekonomi Komprehensif Serantau dan ‘dua negara dua taman’.
China dan Indonesia juga menyasar kerjasama lebih erat melibatkan pembiayaan pembangunan, pertanian, pengurangan kemiskinan dan keselamatan makanan, sambil menggerakkan projek utama berorientasikan Inisiatif Pembangunan Global di peringkat dua hala.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak komited teguh menyokong kedudukan pusat ASEAN, mempertahankan rangka kerjasama serantau yang diterajui ASEAN, menentang mentaliti Perang Dingin dan politik blok, dan bersama-sama memelihara keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.