Xi Mahu Xinjiang Terus Melangkah Maju

2022-07-16 13:42:07  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping menekankan pentingnya melaksanakan sepenuhnya dasar Parti Komunis China (PKC) melibatkan tadbir urus Xinjiang pada era baharu, di samping menjadikan kestabilan sosial dan ketenteraman awam yang berkekalan sebagai sasaran utama.

Beliau, juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, membuat kenyataan sedemikian semasa lawatan kerja ke Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China dari Selasa hingga Jumaat.

Xi mahu usaha dilakukan untuk memajukan Xinjiang menjadi wilayah yang bersatu padu, harmoni, makmur dan maju dari segi budaya, dengan ekosistem lestari dan masyarakat hidup aman damai.

Ketika berada di wilayah itu, Xi melakukan tinjauan ke Urumqi, Shihezi dan Turpan, serta menjejakkan kaki ke kampus Universiti Xinjiang, malah sampai ke komuniti kediaman, muzium, kawasan luar bandar dan lain-lain.

Presiden itu menyeru supaya semangat kemasyarakatan bangsa Cina disemarakkan lagi, manakala pertukaran dan interaksi antara kaum terus digalakkan.

Beliau turut menegaskan tentang kepentingan meningkatkan keupayaan tadbir urus hal ehwal agama untuk merealisasikan perkembangan sihat agama.

Xi ingin melihat ekonomi wilayah tersebut kekal bertumbuh secara berkualiti tinggi, industri tempatan dimantapkan, peluang pekerjaan semakin bertambah, serta hasil pembangunan memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat.