China Bersedia Tingkatkan Hubungan dengan Hungary

2022-07-18 14:34:49  cri
Share with:

BEIJING, 18 Jul — Menteri Luar China, Wang Yi menyatakan negara Tembok Besar menghargai kepercayaan dan persahabatan yang terjalin dengan Hungary serta cara negara itu dalam menegakkan keadilan secara konsisten berhubung hal ehwal berkaitan China.

Beliau berkata demikian ketika berbincang menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Hungary, Peter Szijjarto, pada Ahad.

Menurut Wang Yi, Hungary memahami tentang kedudukan China yang sah, menyokong China dalam menjaga hak dan kepentingannya, di samping menyatakan kesediaan China untuk bekerjasama dengan Hungary untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara sebagai model hubungan dua hala yang matang dan saling mempercayai.

"China akan meneruskan dasar persahabatan dengan Hungary, memegang sikap positif dan terbuka terhadap kerjasama yang saling menguntungkan antara kedua-dua negara, serta  menyokong syarikat China untuk melabur di Hungary," ujar beliau.

Wang turut berharap Hungary dapat menyediakan jangkaan dasar yang stabil dan suasana perniagaan yang menggalakkan, selain percaya bahawa Hungary akan terus mempertahankan pendirian objektif dan adil, serta mendorong Kesatuan Eropah (EU) untuk mengambil dasar positif dan pragmatik terhadap China.

Antara lain yang disentuh adalah mengenai krisis Ukraine dan beliau menegaskan bahawa krisis itu bukan sahaja memberi kesan serius kepada Eropah, malah kesan limpahan negatif telah merebak ke seluruh dunia.

"Semua pihak pada Mesyuarat Menteri Luar Kumpulan 20 (G20) amat mengambil berat tentang perkara ini.

 "China juga telah mengemukakan inisiatif untuk menangani masalah keselamatan tenaga dan makanan sempena Mesyuarat Menteri Luar G20 baru-baru ini," jelas Wang.

Beliau berkata, meskipun China tidak terlibat langsung dalam krisis Ukraine, namun negara ini banyak menyumbang kepada penyelesaian masalah tersebut sambil memberitahu bahawa semua pihak perlu mengambil iktibar daripada situasi yang berlaku.

"Semua pihak yang terlibat harus berbincang mengenai pembinaan rangka keselamatan Eropah yang seimbang, berkesan dan mampan demi mencapai keamanan dan keselamatan yang berkekalan," kata Wang lagi.

Szijjarto dalam ucapannya pula memaklumkan tentang situasi semasa di Eropah dan Hungary khususnya cabaran ekonomi dan kewangan yang dihadapi negara itu akibat krisis di Ukraine.

Beliau berkata, Hungary gembira melihat hasil kerjasama Hungary-China dalam pelbagai bidang terutamanya dalam pelaburan dan perdagangan.

Jelas beliau, Hungary bersedia untuk mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China dan akan berusaha mendorong hubungan strategik komprehensif Hungary-China ke tahap baharu.

Beliau juga berjanji bahawa pihaknya akan memberikan kemudahan kepada syarikat China untuk melabur di negaranya.

Szijjarto turut menegaskan bahawa China bukanlah musuh saingan Eropah, tetapi rakan kerjasama. Hungary akan terus komited untuk mempromosikan kerjasama EU-China berdasarkan saling menghormati, adil serta saling menguntungkan.