Piawaian HSR China Jadi Rujukan Antarabangsa

2022-07-19 12:56:49  cri
Share with:

BEIJING, 19 Julai -- Kesatuan Kereta Api Antarabangsa (UIC) mengeluarkan piawaian ‘Infrastruktur Reka Bentuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR)’ dan piawaian ‘Bekalan Tenaga Reka Bentuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi’ mengikut piawaian China.

Untuk rekod, kedua-dua piawaian yang dilaksanakan oleh pertubuhan paling berprestij dalam sektor kereta api itu juga merupakan piawaian antarabangsa pertama dalam bidang berkaitan.

Penyusunan kedua-dua piawaian yang mengambil masa empat tahun itu diterajui oleh Kumpulan Kereta Api China dengan disertai lebih 20 pakar dari lebih sepuluh negara termasuk Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, dan Itali.

Sehingga akhir tahun 2021, perbatuan rel berkelajuan tinggi di China telah melebihi 40,000 kilometer, menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada jumlah perbatuan rel berkelajuan tinggi di seluruh dunia.

Pada masa ini, projek Laluan Rel Pantai Timur Malaysia (ECRL), yang dibina oleh syarikat China dan direka dengan piawaian China, telah memasuki fasa pembinaan puncak.

Sehingga akhir Jun lalu, dua mesin pengorek terowong (TBM) digunakan untuk membina Terowong Genting bagi menjamin projek kawalan utama agar ECRL dapat dilaksanakan dengan lancar.

Projek ECRL yang sepanjang 665 kilometer merupakan projek utama China-Malaysia dalam rangka inisiatif ‘Jalur dan Laluan’ dan akan menghubungkan bandar-bandar utama di pantai timur Semenanjung dan pusat ekonomi di pantai barat.

Projek ini dijangka siap dan beroperasi pada 2026, yang akan merapatkan jurang sambungan kereta api antara pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, laluan kereta api yang direka dan dibina mengikut piawaian China telah dibina di negara-negara Asia, Afrika dan Eropah, sekali gus menjadi perangsang baharu kepada pembangunan negara-negara terlibat.