AS Didesak Lagi Hentikan Penjualan Senjata Kepada Taiwan

2022-07-20 12:09:50  CRI
Share with:

Amerika Syarikat (AS) didesak lagi segera membatalkan penjualan senjata kepada Taiwan, memutuskan perhubungan ketenteraan dan lawatan rasmi dengan Taiwan, menghentikan tindakannya yang boleh meruncingkan ketegangan di Selat Taiwan, dan mengambil langkah yang selaras dengan sikapnya yang tidak menyokong kuasa "kemerdekaan Taiwan".

Demikian dinyatakan  jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam sidang media  Selasa.

Menurut jurucakap Jabatan  Negara AS, Ned Price, berdasarkan "undang-undang hubungan dengan Taiwan",  Washington berkewajipan membekalkan barangan dan perkhidmatan pertahanan yang  diperlukan oleh Taiwan supaya memastikan pulau itu mampu mempertahankan diri sendiri, dan ini sejajar dengan dasarnya tentang "Satu  China".

Sehubungan itu, Zhao  berkata, apa yang disebut "undang-undang hubungan dengan Taiwan" adalah  undang-undang domestik AS gubalan sepihak, sama sekali tidak sejajar dengan  perundangan dan norma asas hubungan antarabangsa yang diketahui umum, dan  bercanggahan dengan prinsip "Satu China" dan Tiga Komunike Bersama China-AS.  China tidak pernah mengiktiraf, melainkan membantah terus undang-undang domestik  sepihak itu. Masakan AS boleh melagak dengan memegang undang-undang domestik itu  untuk mencampur tangan urusan dalaman China melalui penjualan senjata kepada Taiwan.

Selain itu, China juga  membantah jadual lawatan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Patricia D'Alesandro  Pelosi ke Taiwan pada bulan depan.

"China menentang lawatan rasmi kedua-dua pihak dalam sebarang bentuk. Sebagai salah satu komponen  kerajaan AS, Kongresnya patut menaati dasar kerajaannya tentang 'Satu China'.  Seandainya jadual lawatan tersebut dilaksanakan, ia akan menyebabkan kedaulatan dan keutuhan wilayah China terjejas, asas politik hubungan China-AS terhakis,  dan memberikan isyarat yang salah kepada pembelot yang memperjuangkan  'kemerdekaan Taiwan'. Sekiranya AS degil berbuat sedemikian, China akan mengambil tindakan yang tegas untuk menjaga kedaulatan dan keutuhan wilayah sendiri. Semua akibat yang mungkin berlaku ditanggung oleh AS sendiri", katanya.