Skala Ekspo Barangan Pengguna Antarabangsa China Kedua Ditingkatkan

2022-07-21 15:04:15  cri
Share with:

BEIJING, 21 Julai – Ekspo Barangan Pengguna Antarabangsa China Kedua akan diadakan di provinsi Hainan, selatan China pada 26 hingga 30 Julai ini, dan kerja-kerja persiapan ekspo sudah siap sepenuhnya, kata Timbalan Gabenor Provinsi Hainan, Ni Qiang dalam sidang taklimat yang diadakan di Beijing pada Rabu.

Beliau menyatakan jumlah kawasan pameran kali ini mencecah 100,000 meter persegi, iaitu meningkat 20,000 meter persegi berbanding tahun lalu.

Menurut Ni, Perancis akan menjadi negara tetamu kehormat di ekspo tahun ini yang dijangka akan menjadi pameran butik terbesar di rantau Asia-Pasifik.

“Antaranya, kawasan pameran antarabangsa akan mencecah 80,000 meter persegi, menyumbang 80 peratus daripada jumlah kawasan pameran.

“Terdapat lebih daripada 1,600 jenama dari 61 negara dan wilayah akan mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa,” jelas beliau.

Ni juga mendedahkan bahawa jumlah kawasan pameran domestik adalah seluas 20,000 meter persegi, dan disediakan untuk mempamerkan produk pengguna dari seluruh China.

Difahamkan, berbanding dengan edisi 2021, ekspo kali ini akan mempamerkan lebih banyak produk pengguna dan jenama terkemuka global, melancarkan lebih 600 produk baharu dari lebih 200 jenama antarabangsa.

Ni berkata, pihak penganjur juga akan memberi tumpuan kepada pemadanan pameran dan jualan, di samping menjemput syarikat yang berpengaruh hadir sebagai pembeli. Dijangka lebih 40,000 pembeli dan pelawat akan terlibat dalam ekspo kali ini.