Dunia Arab Makin Kecewa pada Demokrasi Barat

2022-07-22 15:07:28  CRI
Share with:

Terdapat dua laporan penyelidikan yang diumumkan Arab Barometer baru-baru ini yang mendedahkan majoriti rakyat negara Arab semakin kecewa terhadap keberkesanan sistem demokrasi Barat, sedangkan daya tarikan model China kian meningkat.

 

Penyelidikan tersebut merangkumi 23,000 orang responden dari 9 buah negara termasuk Maghribi, Tunisia, Iraq, Sudan, Libya, Jordan, Lubnan, Mauritania dan Palestin. Dua laporan hasil penyelidikan itu yang masing-masing bertajuk "Demokrasi Asia Barat dan Utara Afrika" dan "Pandangan Umum Terhadap Saingan China-AS di rantau Asia Barat dan Utara Afrika" telah diterbitkan di laman sesawang rasmi Arab Barometer pada awal Julai lalu.

Menurut laporan "Demokrasi Asia Barat dan Utara Afrika", rakyat negara-negara Arab di rantau Asia Barat dan utara Afrika semakin ragu akan manfaat yang boleh dibawa dari demokrasi Barat dalam tempoh 10 tahun lalu, khususnya dalam tempoh 5 tahun yang lalu. Semakin ramai orang berpendapat bahawa sistem demokrasi Barat "tidak kondusif bagi pertumbuhan ekonomi, perlindungan kestabilan sosial dan peningkatan kecekapan dalam pentadbiran kerajaan".


 

Laporan "Pandangan Umum Terhadap Saingan China-AS di rantau Asia Barat dan Utara Afrika" pula menyatakan bahawa China memilih mengintensifkan hubungan ekonomi dengan kawasan mereka melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), tetapi AS memilih terus mengurangkan belanjawan dan mengalihkan fokus strategiknya ke rantau Asia Pasifik. China mendapat sambutan yang lebih besar dari AS di 8 buah negara yang tersenarai dalam penyelidikan tersebut kecuali Maghribi. Satu pertiga jumlah responden tersebut melihat AS sebagai ancaman ekonomi yang besar, namun tiada sebuah negara pun berpendapat China merupakan ancaman lebih besar daripada AS dalam sektor ekonomi. Selain itu, hampir semua negara berpendapat AS menghulurkan bantuan adalah untuk membesarkan pengaruhnya terhadap negara mereka.


 

Menurut kesimpulan yang terkandung dalam laporan tersebut, China mungkin akan terus mendapat sambutan yang lebih besar daripada AS pada masa akan datang kerana China bukan bekas negara kolonial dan tidak pernah mencampuri urusan dalaman rantau Asia Barat dan utara Afrika.