Singkap Kembali Jejak Jokowi di China
Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) akan mengadakan lawatan untuk kali kelima ke China pada 25 Julai.
Sejak menyandang jawatan sebagai presiden Indonesia pada 2014, Jokowi giat mendorong pembinaan dan penaiktarafan kemudahan infrastruktur domestik, di samping mempercepat langkah dalam menyelaraskan pelaksanaan strategi Poros Maritim Dunia (PMD) anjuran negaranya dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) anjuran China.
Pada bulan November 2014, iaitu tidak sampai sebulan setelah mengangkat sumpah jawatan Presiden Indonesia, Jokowi mengadakan lawatan buat julung kalinya ke China untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan mengadakan rundingan dengan Presiden China Xi Jinping. Ini adalah pertemuan rasmi kali pertama antara pemimpin kedua-dua negara.
Pada bulan Mac 2015, Jokowi mengadakan lawatan ke China sekali lagi. Jadual lawatan beliau termasuk rundingan dengan Presiden China Xi Jinping dan kehadiran dalam Sidang tahunan Forum Asia Boao (BFA). Pembinaan dan penaiktarafan kemudahan infrastruktur Indonesia dan perkembangan kesalinghubungan antara Indonesia dengan negara-negara serantau menjadi topik utama dalam lawatan tersebut. Hasilnya, perjanjian tentang Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Jakarta-Bandung tercapai setengah tahun kemudian. HSR yang pertama di Indonesia akan muncul di mata dunia tidak lama lagi melalui pelaksanaan projek mercu tanda BRI itu.
Pada bulan September 2016, Jokowi melakukan lawatan kali ketiga ke China untuk menghadiri Sidang Kemuncak Negara Kumpulan 20 (G20) di Hangzhou dan mengadakan rundingan dengan Presiden China Xi Jinping.
Ketika Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa BRI diadakan di Beijing pada bulan Mei 2017, Jokowi datang ke China untuk kali keempat bagi menghadiri forum tersebut di samping mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping. Beliau dalam pertemuan itu berkata pihaknya menghargai pelaksanaan BRI dan yakin akan BRI boleh menyediakan lebih banyak peluang kepada kerjasama antara Indonesia dengan China dalam bidang ekonomi.