Pakar: COVID-19 Tidak Halang Peningkatan Import Eksport China-Malaysia

2022-07-25 11:20:49  cri
Share with:

Penularan wabak COVID-19 dan dasar ‘sifar COVID-19’ yang diguna pakai oleh China bukan penghalang kepada peningkatan perdagangan serta pelaburan antara Malaysia-China.

Menurut Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh, ia boleh dilihat melalui data terkini untuk Jun 2022 bahawa nilai eksport Malaysia ke China direkodkan sebanyak RM18.3 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 4.2% berbanding Jun 2021.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia juga turut mengimport sebanyak RM26.17 bilion dari China.

“Maknanya, dasar kesihatan yang diambil China tidak menjejaskan sebahagian besar perdagangan antara Malaysia-China.

“Tetapi, kita juga berharap gangguan seperti rantai bekalan, pergerakan dan pengangkutan dari Malaysia ke China dapat diatasi secepat mungkin untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi di China dan Malaysia,” ujar Sufian lagi.

Beliau berkata ketika diwawancara menerusi program Agenda AWANI Asia terbitan Astro AWANI, pada Sabtu.

Ketika diminta mengulas prospek projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sufian berkata ia yang sedang dalam proses pembinaan dilihat memberikan satu peralihan teknologi antara China-Malaysia iaitu kejayaan membina terowong kereta api yang panjang.

“Dahulu kita belajar bina kereta api dari British, kemudian kita meningkat (dengan membina) tren laju dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke KL Sentral.

“Dan sekarang kita mempelajari teknologi baharu, iaitu membina terowong dan pembinaan trek yang lebih canggih dari KL ke pantai timur,” kata beliau.

Jelas Sufian, buat jangka panjang, ECRL mampu menyumbang kepada pembangunan yang lebih luas dan besar di kawasan pelabuhan Kuantan dan Kemaman berikutan terdapatnya dua stesen berbeza yang dibina berhampiran kedua-dua pelabuhan.

“Saya lihat ECRL ini bukan satu projek secara sendiri, tetapi ia memberikan kesan yang besar iaitu membina hubungan kereta api dengan Kunming melalui Thailand dan Vientiane, dan seterusnya ke Eropah kerana terdapat barangan kita (Malaysia) yang boleh dieksport ke kawasan-kawasan barat China dan Asia Tengah yang tidak boleh dilalui oleh kapal,” kata Sufian.

Ujar beliau, ia sekali gus akan mewujudkan peluang pekerjaan, selain membina jaringan yang lebih luas iaitu perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara ‘landlock’.