‘Empat Satu’ Penanda Aras Hubungan China-Indonesia

2022-07-25 15:23:57  cri
Share with:

Atas jemputan Presiden China Xi Jinping, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijadual melakukan lawatan dua harinya ke China mulai hari ini.

Beberapa tahun kebelakangan ini, perkongsian strategik komprehensif China-Indonesia menyaksikan perkembangan secara mendalam dengan bimbingan dan dorongan pemimpin kedua-dua negara.

Dalam konteks ini, ‘Empat Satu’ yang merangkumi satu Inisiatif, satu Semangat, satu Landasan Kereta Api dan satu Perjanjian bukan sahaja merupakan penanda aras signifikan perkembangan ikatan bilateral, malah juga menjadi panduan kepada pemantapan hubungan antara satu sama lain pada masa depan.

Pada 3 Oktober 2013, Presiden Xi buat kali pertamanya mengemukakan inisiatif membangunkan Jalan Sutera Maritim Abad Ke-21 ketika berucap di Parlimen Indonesia.

Sepanjang lapan tahun lalu, Indonesia giat menyelaraskan strategi pembangunan negara dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperhebat kesalinghubungan infrastruktur, sekali gus mencapai kemajuan positif dalam kerjasama sumber tenaga.

Pada 22 April 2015, Presiden Xi yang dipelawa berucap di Pusat Konvensyen Jakarta, menegaskan bahawa Semangat Bandung yang tetap dinamik dewasa ini perlu terus disemarakkan dan diberikan konotasi baharu.

Saranan memperkasakan kerjasama antara Asia dengan Afrika, kerjasama Selatan-Selatan dan kerjasama Selatan-Utara yang dianjurkan Xi berjaya menyuntik konotasi baharu kepada Semangat Bandung dan menunjukkan hala tuju pembangunan dua benua terbabit pada masa depan.

Kereta api HSR berkelajuan 350 kilometer sejam yang menyambungkan Jakarta dengan Bandung dengan landasan sepanjang 142 kilometer adalah ‘pesanan pertama’ jenama HSR China yang dibawa ke luar negara dengan sistem, unsur dan rantai pengeluaran penuh, selain turut merupakan HSR pertama di Indonesia dan Asia Tenggara.

Pada 2011, sebagai pengerusi bergilir ASEAN, Indonesia buat pertama kalinya mengesyorkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang berkuat kuasa secara rasmi pada 11 tahun kemudiannya.

Dianggotai 15 negara, RCEP menyumbang kira-kira 30 peratus dari segi populasi, saiz ekonomi dan jumlah perdagangan di seluruh dunia, sementara lebih 90 peratus perdagangan barangan antara negara anggota akan menikmati tarif sifar.

Kerjasama menang-menang adalah jalan yang mesti dipilih demi pembangunan Asia.

Dengan momentum penguatkuasaan RCEP dan pengoperasian landasan kereta api China-Laos, pihak terbabit diseru bersinergi menggalakkan pembentukan pasaran lebih terbuka serta  kerjasama saling untung di rantau Asia.