Radar Gelombang Mikro Bantu Pencantuman Dua Modul Stesen Angkasa

2022-07-26 16:08:44  CRI
Share with:

Selepas penerbangan kira-kira 13 jam, modul eksperimen Wentian yang telah memasuki orbit ditetapkan berjaya menyelesaikan proses pencantuman dengan modul teras Tianhe pada Isnin. 

Di ruang angkasa, radar gelombang mikro adalah teknologi utama bagi membantu dua modul itu menyempurnakan misi yang sukar, iaitu menemui satu sama lain sambil bercantum dengan tepat.

Dengan menggunakan mod pencantuman secara automatik, Wentian membuka sayap panel surianya dan melakukan pelarasan orbit buat beberapa kali sebelum berlabuh pada dok hadapan modul teras Tianhe.

Jurutera aeroangkasa China, Yang Gang memaklumkan bahawa radar gelombang mikro dipasang di Wentian, manakala transponder pula ditempatkan di Tianhe. 

Dua alat tersebut menjalankan komunikasi secara berterusan dan stabil untuk menghantar maklumat berkaitan ukuran sudut, kelajuan dan jarak antara kedua-dua modul.

Apabila berada lebih 100 kilometer dari Tianhe, alat berkenaan telah pun dihidupkan. Tugasnya selesai ketika dua modul itu berjarak hanya beberapa meter antara satu sama lain.

Pencantuman di ruang angkasa merupakan antara teknologi utama bagi projek penerbangan angkasa lepas membawa angkasawan.

Sekiranya ingin bertemu dan bercantum dengan lancar di angkasa lepas, dua modul perlu mengetahui kedudukan dan status gerakan satu sama lain secara tepat, selain kerap melaraskan arah dan kelajuan penerbangan.

Proses tersebut memerlukan satu sistem pandu arah angkasa dengan membuka 'kongsi lokasi masa nyata' yang berketepatan tinggi pada peta angkasa. 

"Ia melibatkan pencarian di ruang udara yang besar, dengan kejituan ukuran yang amat tinggi," jelas beliau.