ASEAN, China Seru Percepat Penaiktarafan DoC
Prinsip dan gagasan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) perlu terus dipegang dan dilaksanakan dengan teguh.
Menurut Menteri Luar China, Wang Yi, ia adalah bagi memastikan kuasa bertindak untuk isu Laut China Selatan terletak di tangan negara serantau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan secara maya dalam bengkel sempena sambutan ulang tahun ke-20 pemeteraian DoC, pada Isnin.
Bengkel yang diadakan secara hibrid itu dihadiri pegawai dan sarjana dari China serta negara-negara ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Hor Nam Hong dalam ucapannya menyifatkan pemeteraian DoC pada dua dekad lalu sebagai satu pencapaian bersejarah yang memperlihatkan kemampuan ASEAN dan China dalam menangani percanggahan.
“Sejak DoC ditandatangani, Asia Tenggara dan China menjadi kawasan yang pertumbuhan ekonominya paling pesat di seluruh dunia.
“Setakat ini, tiada konflik serius berlaku antara negara anggota ASEAN dan China. Justeru, negara-negara dari rantau lain tidak seharusnya campur tangan dalam situasi Laut China Selatan, atau bertindak menghasut konflik dan menjejaskan kedamaian,” katanya.
Selain merumuskan keberhasilan pelaksanaan DoC, para hadirin turut menyeru mendorong rundingan bagi memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan yang efektif dan substantif dengan secepat mungkin, di samping mempercepat penaiktarafan DoC.
Duta Besar Vietnam di China, Pham Sao Mai pula berkata, negara ASEAN dan China diharap terus berusaha bagi melaksanakan DoC secara menyeluruh dan berkesan, dan menamatkan rundingan mengenai CoC seawal mungkin.
Jelas beliau, perkara tersebut bukan sahaja dapat membantu memelihara keamanan di Laut China Selatan, malah juga rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia.