Pertukaran Budaya Perkukuh Hubungan China-Indonesia
Pertukaran budaya antara China dengan Indonesia diharap dapat memainkan peranan lebih besar untuk mengukuhkan lagi jalinan sedia ada.
Demikian ujar Peng Liyuan, isteri Presiden China Xi Jinping semasa pertemuan bersama Wanita Pertama Indonesia, Iriana Joko Widodo di Wisma Diaoyutai di sini, pada Selasa.
Peng berkata, sebagai negara jiran, ikatan persahabatan sesama rakyat dua negara bertahan agak lama.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan dua negara semakin rapat, manakala aktiviti pertukaran antara rakyat semakin rancak.
“Indonesia merupakan antara destinasi pelancongan yang paling popular dalam kalangan masyarakat China. Saya berharap pertukaran dalam bidang berkenaan dapat terus dipertingkat,” kata beliau.
Dalam pada itu, Iriana meluahkan rasa gembira dan teruja kerana berpeluang berjumpa dengan kenalan lamanya di Beijing itu, dan menzahirkan ucapan terima kasih atas layanan mesra Presiden Xi dan isterinya.
“Saya mengalu-alukan lebih ramai pengunjung China datang melawat Indonesia, dan juga berharap persahabatan antara kita kekal utuh,” balasnya.
Kedua-dua mereka turut menyaksikan pertunjukan kesenian yang dibawakan pelajar dan pensyarah Konservatori Muzik China dalam bentuk alunan alat muzik tradisional dan nyanyian solo lagu rakyat Indonesia.
Peng menyatakan muzik sejenis medium komunikasi yang melampaui sempadan dan membawa orang lebih dekat hingga menjalin persahabatan.