China dan Indonesia Jalin Hubungan Komuniti Berkongsi Nasib
Jokowi ialah pemimpin negara luar pertama yang mengadakan lawatan ke China selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing. Di samping itu, China juga destinasi pertama dalam lawatan Jokowi ke negara-negara Asia Timur kali ini. Lawatan ini mencerminkan keakraban hubungan antara China dengan Indonesia.
Kedua-dua pemimpin telah menetapkan hala tuju pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Indonesia, mengeluarkan kenyataan bersama, membaharui memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan Poros Maritim Dunia, serta menandatangani dokumen kerjasama meliputi vaksin, pembangunan mesra alam, pertukaran maklumat, keselamatan siber dan maritim.
Antara hasil tersebut, menetapkan hala tuju tentang pembinaan komuniti berkongsi nasib kedua-dua negara adalah hasil politik yang paling penting dalam lawatan Jokowi kali ini. China dan Indonesia memperkukuh kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, kemanusiaan, dan maritim bersandarkan komuniti berkongsi nasib, pasti akan membawa peluang baharu kepada kedua-dua negara ini.
Dalam rundingan itu, Presiden Xi mengesyorkan kedua-dua negara supaya mempergiat kerjasama dalam rangka BRI supaya ia membuahkan lebih banyak hasil.
MoU mengenai kerjasama BRI dengan Poros Maritim Dunia yang dibaharui pasti akan membantu memperkukuh penyelarasan strategik pembangunan antara satu sama lain, selain membuktikan komitmen oleh China iaitu "asalkan berfaedah demi pembangunan Indonesia dan merapatkan kerjasama China-Indonesia, China tentu akan terlibat secara aktif".
Indonesia menjadi negara pengerusi bergilir Sidang Kemuncak G20 tahun ini dan negara pengerusi bergilir ASEAN pada tahun depan. Perkembangan baik hubungan China-Indonesia bukan sahaja sesuai dengan kepentingan bersama kedua-dua negara dalam jangka masa panjang, malah memberi kesan positif di peringkat serantau dan dunia.
Dalam rundingan ini, Presiden Xi menyatakan bahawa pihaknya menyokong Indonesia menganjurkan Sidang Kemuncak G20 dan menjadi negara pengerusi bergilir ASEAN pada tahun depan. Sokongan padu yang dinyatakan oleh pihak China telah menyuntik keyakinan dan kedinamikan kepada kejayaan Indonesia menjadi tuan rumah sidang kemuncak G20 tahun ini.
Dalam rundingan ini, Presiden Jokowi menggunakan perkataan seperti "komuniti berkongsi naisb", "saling menguntungkan dan saling menang" dan "tenaga positif" untuk menggambarkan hubungan China-Indonesia. Lawatan Presiden Jokowi ke China kali ini jelas menunjukkan bahawa Asia tidak mengalu-alukan konfrontasi antara pakatan atau politik kumpulan, mewujudkan keamanan dan pembangunan adalah aspirasi bersama rakyat di rantau ini.